Ahad, 6 Oktober 2019 | 8:41pm
Penunjuk perasaan mengambil bahagian menentang rancangan kerajaan membenarkan wanita bujang dan lesbian hamil menerusi rawatan kesuburan hari ini berhampiran Pantheon di Paris, Perancis. -Foto AFP

Penduduk Perancis bantah undang-undang pro-IVF untuk wanita bujang, lesbian

PARIS: Ribuan penduduk berhimpun di ibu kota Perancis hari ini untuk membantah rancangan kerajaan membenarkan wanita bujang dan lesbian, hamil menerusi rawatan kesuburan, pembaharuan utama sosial sejak negara itu membenarkan perkahwinan sesama jenis pada 2013.

Penganjur berkata, mereka menjangka 100,000 akan berhimpun menentang undang-undang itu yang bakal dibentangkan di Senat bulan ini, selepas ia diluluskan dewan rendah Parlimen bulan lalu.

Presiden Emmanuel Macron berikrar ketika kempen pilihan raya 2017, untuk meluluskan undang-undang berkenaan walaupun bantahan mendalam di kalangan golongan sayap kanan serta kumpulan konservatif Roman Katolik dan agama lain.

Mereka membuat bantahan besar-besaran pada 2012 dan 2013 menentang tindakan penyandang Sosialis Macron, Francois Hollande untuk meluluskan perkahwinan pasangan homoseksual dengan satu bantahan di ibu kota ini menarik 340,000 orang, menurut polis.

Namun undang-undang itu tidak membenarkan pasangan lesbian atau wanita bujang memiliki anak menerusi rawatan kesuburan in-vitro (IVF) atau bantuan perubatan lain, sekian lama menjadi pantang larang di Perancis.

Ramai wanita sebaliknya terpaksa mendapatkan rawatan di luar negara dan mahkamah Perancis enggan mengiktiraf hak ibu kedua dalam kes pasangan sesama jenis.

Mengikut undang-undang dicadangkan, sistem penjagaan kesihatan Perancis akan membiayai kos prosedur untuk semua wanita di bawah usia 43 tahun.

Ia juga membenarkan anak yang hamil hasil sperma diderma untuk mengetahui identiti penderma apabila berusia 18 tahun, perubahan daripada perlindungan ketat penderma di Perancis sebelum ini.

Jika diluluskan, undang-undang itu akan membawa perundangan Perancis sejajar dengan negara Eropah lain termasuk Britain, Sepanyol, Portugal, Netherlands, Ireland, Belgium dan negara Scandinavia, yang meluluskan rawatan kehamilan dibantu perubatan untuk semua wanita. -AFP

Berita Harian X