Ahad, 22 September 2019 | 7:50am

Gempa bumi 5.6 gegarkan Albania

TIRANA: Gempa bumi dengan ukuran awal 5.6 magnitud dan gegaran susulan yang sedikit lemah menggegarkan bandar pelabuhan Durres di Albania semalam.

Ia menggoyangkan bangunan di bandar itu dan ibu negara, Tirana, dan menyebabkan penduduk berlari ke jalan raya dan taman untuk menyelamatkan diri.

Kementerian Pertahanan berkata, ia adalah gempa bumi paling kuat di Albania dalam masa 30 tahun.

“Semua jiran keluar sambil menjerit.

“Syukurlah ia tidak berpanjangan, kira-kira 20 saat. Ia mimpi ngeri di tingkat 10.

“Saya tidak ingat ada gempa lebih kuat daripada kali ini,” kata seorang pesara di Tirana, Agim, 67.

Menteri Kesihatan, Ogerta Manastirliu, berkata 68 dirawat kerana cedera di Tirana dan Durres.

Kebanyakannya cedera ketika bergegas keluar dari rumah dalam panik.

Ramai sudah dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan.

“Tidak ramai yang datang ke hospital selepas itu,” kata Manastirliu kepada wartawan.

Di Tirana, 48 rumah dan tiga bangunan pangsapuri retak, manakala di Durres, 42 rumah dan empat bangunan pangsapuri rosak, kata Menteri Pertahanan, Olta Xhacka, kepada sidang akhbar.

“Paling penting adalah tiada kehilangan nyawa,” katanya. —Reuters

Berita Harian X