Isnin, 9 September 2019 | 6:17pm
Hampir semua penerbangan British Airways terkandas dan menjejaskan ribuan penumpang dalam pertikaian membabitkan gaji. - Foto AFP

Juruterbang mogok, 1,700 penerbangan British Airways dibatalkan

LONDON: Juruterbang syarikat penerbangan British Airways (BA) memulakan mogok dua hari, hari ini, sehingga menyebabkan hampir semua penerbangan syarikat itu terkandas dan menjejaskan ribuan penumpang dalam pertikaian membabitkan gaji.

Syarikat itu adalah sebahagian daripada kumpulan International Airlines Group (IAG), ia membatalkan 1,700 dari dan ke lapangan terbang Heathrow dan Gatwick di London, hari ini dan esok, sebelum mogok pertama ahli Persatuan Juruterbang British Airlina (BALPA).

“Saya memohon maaf, tindakan kesatuan juruterbang menyebabkan keadaan ini. Ekoran cuba mencapai matlamat sendiri, pelanggan terjejas, jenama terjejas dan menjejaskan rakan sekerja lain,” kata Ketua Eksekutif BA, Alex Cruz.

Saham IAG jatuh lebih dua peratus, ketika dagangan awal.

BA menawarkan juruterbang kenaikan gaji 11.5 peratus selama tiga tahun yang akan menjadikan kapten dengan gaji tertinggi sebanyak 167,000 pound (RM854,839) setahun dengan tambahan 16,000 pound (RM82,412) sebagai elaun.

Secara purata, juruterbang syarikat itu meraih gaji kira-kira 90,000 pound (RM463,568) setahun.

BALPA mahu perjanjian gaji memasukkan klausa perkongsian keuntungan.

“BA sedang mencatatkan keuntungan, kami mahu berkongsi keuntungan ini sebagai mana kami berkongsi pada waktu sukar,” kata Setiausaha Agung BALPA, Brian Strutton. - Reuters

1139 dibaca
Berita Harian X