Isnin, 9 September 2019 | 10:33am
Juruterbang British Airways memulakan mogok 48 jam hari ini. - Foto fail AFP

Juruterbang British Airways mogok 48 jam, ratusan penerbangan tergendala

LONDON: Barisan juruterbang British Airways (BA) memulakan mogok 48 jam hari ini, menyebabkan ratusan penerbangan milik syarikat itu tergendala dan menjejaskan perjalanan ribuan penumpang, berikutan perbalahan mengenai gaji.

Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan British (BALPA) bulan lalu memberikan notis tiga hari kepada British Airways untuk melakukan tindakan perindustrian pada September, iaitu mogok pertama juruterbang BA setakat ini.

Susulan mogok pada 9 dan 10 September, satu lagi tindakan perindustrian akan diadakan pada 27 September.

Menurut BALPA, BA seharusnya berkongsi keuntungan diperoleh bersama juruterbang mereka manakala syarikat terbabit pula mendakwa, tindakan seumpama itu tidak wajar dilakukan kerana gaji ditawarkan adalah sangat memadai.

Ribuan penumpang terpaksa mencari kaedah alternatif selepas penerbangan masing-masing tergendala dan BA turut menerima kecaman berhubung cara mereka menangani komunikasi bersama pelanggan.

“Mogok ini akan memberi kerugian lebih besar kepada syarikat berbanding pelaburan yang perlu dikeluarkan untuk menyelesaikan perbalahan.

“Sudah tiba masanya untuk kembali ke meja rundingan dan menimbangkan dengan serius tawaran yang ada untuk mengakhiri pertelingkahan ini,” kata Setiausaha Agung BALPA, Brian Strutton dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, BA menolak tawaran dikemukakan BALPA dengan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang dibuat secara wajar.

BALPA berkata, mogok berkenaan akan dibatalkan sekiranya BA menerima tawaran dikemukakan. - Reuters

1494 dibaca
Berita Harian X