Jumaat, 23 Ogos 2019 | 4:40pm

Pakar bedah Perancis didakwa dera 250 kanak-kanak secara seksual

PARIS: Seorang pakar bedah Perancis disyaki melakukan penderaan seksual ke atas 250 kanak-kanak, sebahagian besarnya apabila mangsa tidak sedarkan diri selepas dibius, dalam kes yang dikhuatiri skandal seks kanak-kanak terburuk negara itu.

Joel Le Scouarnec, 66, pakar dalam pembedahan abdomen didakwa menyerang kanak-kanak lelaki dan perempuan sejak tiga dekad lalu, malah turut menyimpan diari yang menceritakan setiap serangan dilakukan.

Pada 2005, dia disabitkan dengan kesalahan memiliki imej kanak-kanak yang didera secara seksual namun dibenarkan meneruskan tugas sebagai pakar bedah sehingga ditahan semula pada 2017.

Tuduhan terbaru itu timbul susulan siasatan yang dibuat hasil dakwaan bahawa dia terbabit merogol kanak-kanak perempuan berusia empat dan enam tahun.

Menurut peguamnya, Le Scouarnec, yang bertugas di Hospital de Jonzac di barat Perancis menafikan tuduhan berkenaan namun mengaku melakukan perkara tidak sopan bersama mereka.

Sepanjang siasatan, polis yang menggeledah rumah tertuduh menemui sebuah diari menceritakan secara terperinci serangan seksual dilakukan ke atas 250 kanak-kanak ketika mereka menerima rawatan di hospital terbabit.

Majalah Perancis, L’Express melaporkan, ia mungkin kes pedofilia terbesar pernah didedahkan di negara berkenaan.

Peguam mewakili mangsa, Francesca Satta berkata, keterangan di dalam diari berkenaan begitu menjijikkan dan beliau tidak sanggup meneruskan pembacaan.

Le Scouarnec mengaku menyerang secara seksual beberapa kanak-kanak di hospital itu namun menafikan ada menulis sebarang keterangan dalam diari terbabit. - Agensi

Berita Harian X