Rabu, 14 Ogos 2019 | 1:06pm
AKTIVIS alam sekitar remaja, Greta Thunberg belayar menggunakan kapal lumba Malizia II. - Foto AFP

Enggan rosakkan alam, aktivis remaja tolak naiki pesawat

PLYMOUTH (UNITED KINGDOM) : Aktivis alam sekitar remaja, Greta Thunberg memulakan pelayaran hari ini ke New York bagi menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dengan menggunakan perahu layar bebas karbon, dikendalikan oleh anggota keluarga Diraja Monaco.

Remaja Sweden berusia 16 tahun itu yang mengadakan mogok di sekolah dan menjadi inspirasi kepada semua kanak-kanak seluruh dunia untuk membantah pemanasan global, enggan menaiki pesawat kerana ia melepaskan gas karbon ke udara.

Beliau bagaimanapun menerima tawaran untuk belayar menggunakan kapal lumba Malizia II bersama bapanya, Svante dan pembuat filem dokumentari bagi merekodkan perjalanan itu yang membolehkan remaja terbabit menghadiri sidang kemuncak PBB pada September.

Kapal sepanjang 18 meter itu dikendalikan Pierre Casiraghi, naib presiden Kelab Perahu Layar Monaco dan anggota keluarga Diraja negara itu serta pelayar bertaraf dunia dari Jerman, Boris Herrmann.

Pelayaran berkenaan dijangka mengambil masa dua minggu kerana kapal itu diramalkan menempuh angin kuat dan hanya mampu bergerak perlahan walaupun sebenarnya mampu mencapai kelajuan 70 kilometer sejam.

“Objektif utama ialah untuk tiba dengan selamat di New York,” katanya ketika sedang membuat persiapan terakhir di pelabuhan Plymouth.

Thunberg menjadi sebutan ramai untuk isu cuaca selepas memberikan amaran kemusnahan dunia jika semua pihak tidak bertindak mengekang pengeluaran karbon dan pemanasan global.

Bercakap kepada pemberita sebelum memulakan pelayaran, remaja itu akur dengan kenyataan bahawa tidak ramai orang bersedia untuk memahami serta menerima sains.

“Saya akan lakukan apa yang biasa dibuat iaitu tidak mempedulikan mereka dan menceritakan mengenai fakta,” katanya merujuk kepada lawatan ke Amerika Utara baru-baru ini. - AFP

497 dibaca
Berita Harian X