X
Jumaat, 2 Ogos 2019 | 11:31am
Calon parti Liberal Demokrat, Jane Dodds (tengah) meraikan kejayaannya selepas memenangi pilihan raya Brecon and Radnorshire di Builth Wells, Wales. Foto AFP
Calon parti Liberal Demokrat, Jane Dodds (tengah) meraikan kejayaannya selepas memenangi pilihan raya Brecon and Radnorshire di Builth Wells, Wales. Foto AFP

Boris Johnson hilang kerusi di Parlimen

LLANELWEDD: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berdepan satu tamparan hebat sejak mentadbir apabila parti pro Kesatuan Eropah (EU), Liberal Demokrat merampas kerusi Parlimen di Brecon dan Radnorshire daripada pimpinan Konservatif hari ini.

Ia sekali gus mengurangkan majoriti partinya di Parlimen kepada hanya satu kerusi, menjelang pertemuan dengan penggubal undang-undang pada musim luruh nanti.

Pertemuan itu merealisasikan pelan Brexit pada 31 Oktober ini tanpa sebarang perjanjian.

Setakat ini, kerajaan Johnson amat bergantung kepada sokongan sebuah parti politik kecil di Ireland Utara untuk mendapatkan kelebihan majoriti.

Namun, ia tidak termasuk segelintir ‘pemberontak’ dalam kalangan parti Konservatif sendiri yang boleh mengakibatkan parti itu hilang undi utama.

“Majoriti yang dimiliki Boris Johnson semakin mengecil menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai mandat untuk menyingkirkan kami dari EU.

“Saya akan melakukan apa sahaja untuk menghentikan Brexit dan menawarkan alternatif serta visi yang lebih positif. Kami kini mempunyai seorang lagi Ahli Parlimen (MP) yang bakal menentang Brexit di Parlimen,” kata pemimpin Liberal Demokrat, Jo Swinson yang kini mempunyai 13 kerusi di Parlimen, dalam satu kenyataan.

Pilihan raya di Brecon tercetus apabila ahli Parlimen Konservatif, Chris Davies disingkirkan susulan petisyen kawasan pilihan rayanya, yang mensabitkan beliau atas kesalahan memalsukan perbelanjaan.

Calon parti Liberal Demokrat, Jane Dodds menang selepas meraih 13,826 undi.

Davies, menduduki tempat kedua dengan 12,401 undi, manakala Parti Brexit di tempat ketiga dengan 3,331 undi dan pembangkang utama Parti Buruh di kedudukan keempat dengan 1,680 undi.

Kerusi itu sebelum ini menjadi milik Liberal Demokrat dari 1997 hingga 2015 yang dimenangi Davies.

Pada pilihan raya awal 2017, beliau mengungguli kerusi berkenaan dengan 8,000 undi majoriti. - Reuters

Berita Harian X