Khamis, 25 Julai 2019 | 12:43pm
PENGHIBUR, Elton John tiba di majlis gala bagi mengutip dana perangi AIDS dan HIV di Kenya. - Foto REUTERS
PENGHIBUR, Elton John tiba di majlis gala bagi mengutip dana perangi AIDS dan HIV di Kenya. - Foto REUTERS

Elton John anjur majlis gala biaya dana AIDS dan HIV Kenya

CAP D’ANTIBES (PERANCIS): Penghibur Elton John mengadakan majlis gala yang dihadiri ramai selebriti terkenal semalam bagi mengutip dana untuk memerangi AIDS dan HIV di Kenya.

Antara tetamu dilihat menghadiri majlis penulis lagu dan penyanyi British itu yang kini sedang berehat dari siri jelajah dunia adalah penyanyi utama kumpulan Cold Play, Chris Martin, pemain gitar The Who, Pete Townshend, akrtres Joan Collins serta aktor,Taron Egerton, pemegang watak utama dalam biopik muzikal ‘Rocketman’.

“Kami berada di sini untuk Yayasan AIDS Elton John iaitu kutipan dana pertama di Selatan Perancis, dengan harapan meraih dana untuk pihak memerlukan bagi memerangi HIV dan AIDS,” kata John kepada wartawan.

Pada majlis berkenaan, Martin turut mempersembahkan ‘Viva La Vida manakala John menyanyikan lagu di piano untuk menghiburkan tetamu yang turut menyertai acara lelongan, membabitkan kereta mewah edisi terhad Bentley.

Yayasan AIDS Elton John tahun lalu mengumumkan projek khas, Menstar Coalition khusus membantu memperluaskan diagnosis dan rawatan jangkitan HIV termasuk inisiatif ujian HIV ke atas diri sendiri di negara sub Sahara.

“Apa yang perlu dilakukan ialah menjalani ujian, mengetahui status mereka dan jangan berasa malu. Ia boleh dirawat,” kata John lagi.

Yayasan AIDS Elton John setakat ini sudah menyumbang AS$450 juta (RM1.8 bilion) untuk beberapa projek sejak ditubuhkan pada 1992.

Sebahagian besar wang itu diperoleh dari acara pesta tahunan dan lelongan di Los Angeles serta New York. - Reuters

Berita Harian X