Rabu, 10 Julai 2019 | 3:26pm

Lebih ramai dibunuh berbanding mati dalam konflik - PBB

VIENNA: Kajian Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), menunjukkan kadar mangsa bunuh di seluruh dunia adalah lima kali lebih tinggi berbanding mereka yang maut dalam konflik bersenjata.

Laporan juga menyatakan jenayah terancang bertanggungjawab melakukan 19 peratus daripada jenayah itu.

Malah, menurut ‘Kajian Global mengenai Pembunuhan’ itu, kadar bunuh di India menunjukkan penurunan.

“Pada dasar data menyeluruh Statistik Bunuh 2018, yang menarik jumlah baru dan sumber diperbaiki, UNODC menganggarkan keseluruhan 4,64,000 kematian disebabkan kes bunuh disengajakan di seluruh dunia pada 2017.

“Paling banyak iaitu 37 peratus berlaku di Amerika, diikuti rapat oleh Afrika dengan 35 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Di sebalik ramai penduduk di Asia, ia cuma mencatatkan 23 peratus, manakala Eropah dengan 4.7 peratus dan Oceania dengan 0.2 peratus iaitu jumlah terendah,” menurut kajian.

Sebagai perbandingan, bilangan mereka yang terbunuh dalam konflik pada tempoh sama adalah 89,000.

Menjelaskan tahap mereka yang dibunuh jenayah terancang, kajian menyatakan: “Dianggarkan purata secara kasar 65,000 kematian setiap tahun ada kaitan dengan jenayah dan kumpulan penjenayah pada tempoh 2000 hingga 2017.

“Kira-kira 95 peratus mangsa yang maut dalam jenayah terancang ialah lelaki.”

Negara yang mencatatkan kes bunuh tertinggi berkaitan jenayah terancang adalah Bahamas, El Salvador, Honduras, Colombia, Jamaica dan Panama. — Agensi

Berita Harian X