Sabtu, 29 Jun 2019 | 2:28pm
DONALD Trump
DONALD Trump

Sekatan dikenakan jika import minyak Iran - AS

LONDON: Amerika Syarikat (AS) bakal mengenakan sekatan terhadap mana-mana negara yang mengimport minyak Iran, tanpa pengecualian tempat, kata wakil khas negara itu ke Iran.

Presiden Donald Trump menjadikan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan pegawai tertinggi Iran sebagai sasaran sekatan pada Isnin lalu, tindakan yang jarang dibuat untuk meningkatkan tekanan terhadap Iran selepas Tehran menembak jatuh dron AS minggu lalu.

“Kami bakal mengenakan sekatan terhadap minyak mentah yang diimport dari Iran,” kata Brian Hook ketika ditanya berhubung jualan minyak mentah Iran ke Asia, sambil menambah Amerika Syarikat bakal memantau laporan minyak mentah Iran yang dibawa ke China.

“Ketika ini tidak ada pelepasan minyak dibuat. Kami bakal menyekat pembelian haram minyak mentah Iran,” katanya.

Terdahulu, dalam laporan Reuters baru-baru ini mendedahkan, Tehran sudah meningkatkan jumlah produk petrokimia yang dijual di bawah harga pasaran di beberapa negara termasuk Brazil, China dan India sejak Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap eksport minyak Iran pada November tahun lalu.

“Iran mempunyai sejarah menggunakan beberapa syarikat untuk mengelak sekatan, mengayakan regim dan membiayai kegiatan luar negara itu,” kata Hook sambil menambah negara itu juga kerap melanggar undang-undang maritim untuk melindungi eksport minyaknya.

Tahun lalu, Trump mengeluarkan Amerika Syarikat daripada perjanjian pelbagai negara yang menawarkan pembatalan sekatan terhadap Iran sebagai balasan agar menghentikan program nuklear negara itu dengan pengesahan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Sejak itu, Washington mengenakan semula sekatan terhadap Iran, dengan tujuan untuk menurunkan hasil jualan minyak negara itu kepada sifar, dalam usaha mendesak mereka menyertai rundingan perjanjian lebih meluas yang mencakupi kemampuan peluru berpandu balistik dan pengaruh serantau.

Iran mahu menjual minyaknya pada paras yang sama seperti yang dilakukan sebelum Washington keluar daripada perjanjian.

“Iran sudah beberapa kali menolak diplomasi. Mereka perlu menghentikan agenda mazhab untuk menubuhkan koridor kuasa Syiah demi untuk menguasai Asia Barat,” kata Hook. - Reuters

Berita Harian X