Khamis, 27 Jun 2019 | 8:43am
Seorang lelaki menyejukan badan dengan menunggang basikalnya di bawah sistem pancuran air dalam keadaan cuaca panas di Berlin, Jerman. Menurut ramalan, suhu di Eropah akan naik hampir 40 darjah Celsius pada hari-hari yang akan datang. - Foto EPA

Suhu di Eropah cecah 40 darjah

BERLIN: Pihak berkuasa mengeluarkan amaran semalam apabila gelombang kepanasan yang mencipta rekod di Eropah menunjukkan kepadatan dengan suhu bakal mencecah 40 darjah Celsius.

Kepanasan melampau itu menyebabkan lalu lintas tersekat, mencetuskan kebakaran hutan dan memanaskan perbahasan berhubung tindakan berbogel di khalayak ramai ketika penduduk Jerman berbuat demikian kerana panas.

Namun pengeluar wain di Perancis mengalu-alukan cuaca panas kerana ia membantu menghasilkan arak lebih baik.

Pakar kaji cuaca menyalahkan udara panas dari utara Afrika bagi ketibaan gelombang panas yang terlalu awal pada musim panas di Eropah.

Mereka berkata, ia berkemungkinan menjadikan suhu meningkat lebih 40 darjah Celsius di Perancis, Sepanyol dan Greece hari ini dan esok.

Saintis memberi amaran pemanasan global berkaitan penggunaan bahan bakar fosil manusia menjadikan kepanasan lebih kerap berlaku.

“Suhu global semakin meningkat disebabkan perubahan iklim.

“Peningkatan suhu global bermakna kemungkinan gelombang kepanasan melampau akan lebih kerap berlaku,” kata profesor sains iklim di Universiri of Reading, Len Shaffery.

Di Sepanyol, agensi kaji cuaca Aemet, semalam berkata lima wilayah utara berhadapan risiko penting dengan suhu dijangka mencecah 42 darjah. — AFP

Berita Harian X