Sabtu, 22 Jun 2019 | 7:52am
Bermula Selasa, Perancis akan menyaksikan peningkatan suhu antara 35 hingga 40 darjah Celsius, yang kekal tinggi waktu malam walaupun sedikit berkurangan, kata peramal kaji cuaca. -Agensi

Eropah berdepan fenomena gelombang haba minggu depan

PARIS: Peramal kaji cuaca berkata, penduduk di Eropah akan berdepan cuaca panas minggu depan dengan suhu setinggi 40 darjah Celsius dalam gelombang haba tidak dijangka yang melanda kebanyakan kawasan di Eropah Barat.

Dari Great Britain sehingga ke Belgium dan Greece, gelombang udara panas dari Maghreb di Afrika Utara dan Sepanyol akan menyebabkan suhu meningkat bermula hujung minggu ini dan mencapai kemuncaknya sekitar pertengahan minggu.

Agensi meteorologi Sepanyol (Aemet) mengeluarkan satu ‘amaran kuning’ untuk cuaca buruk Ahad (esok) dan berkata, ia menjangka negara itu menyaksikan musim panas ‘luar biasa berbanding normal’ seperti tahun lalu.

Di Jerman, peramal kaji cuaca meramalkan suhu meningkat sehingga 37 darjah Celsius pada Selasa dan 38 darjah Celsius pada Rabu, dengan cuaca panas sama turut dijangka melanda Belgium dan Switzerland.

Pejabat kaji cuaca Britain berkata, ia terutama bimbang gelombang haba mungkin mencetuskan ‘ribut ganas’ dan memberi amaran kepada penduduk untuk menjangka musim ‘panas, kering dan tidak stabil.’

Greece akan menjadi negara paling terjejas dengan gelombang haba apabila suhu mencecah 39 darjah Celsius pada hujung minggu.

Di Perancis, pakar kaji cuaca, Francois Gourand berkata, gelombang haba ‘tidak dijangka untuk Jun’ dan bakal mengatasi rekod cuaca panas sebelumnya.

Pada musim panas 2003, Perancis mengalami gelombang haba teruk yang menjurus kematian hampir 15,000 orang, majoritinya warga emas.

Bermula Selasa, Perancis akan menyaksikan peningkatan suhu antara 35 hingga 40 darjah Celsius, yang kekal tinggi waktu malam walaupun sedikit berkurangan, kata peramal kaji cuaca.

“Sejak 1947, hanya gelombang haba antara 18 hingga 28 Jun 2005 agak teruk,” kata pusat kaji cuaca Perancis, menambah cuaca melampau itu mungkin berlangsung minimum enam hari. -AFP


Gambar fail diambil 27 Julai 2018 menunjukkan termometer sebuah farmasi memaparkan suhu 40 darjah Celsius di Lille, utara Perancis. -Foto AFP

Berita Harian X