Selasa, 11 Jun 2019 | 11:20pm
Skuter eletrik dibenarkan beroperasi atas jalan raya di ibu negara Perancis pada 22 Oktober 2018, terbaru pengguna kenderaan itu maut selepas bertembung dengan kenderaan lain. - Foto AFP

Pengguna skuter elektrik maut kemalangan di Paris

PARIS: Seorang lelaki berusia 25 tahun meninggal dunia selepas skuter elektrik yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam insiden julung kali berlaku sejak ia dibenarkan beroperasi atas jalan raya di ibu negara Perancis, setahun lalu.

Paris menyaksikan rentetan insiden kemalangan berlaku di seluruh bandar itu dengan membabitkan skuter elektrik disewa, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengehadkan penggunaan dan kelajuan demi keselamatan.

Jurucakap polis berkata, lelaki itu dilanggar di kawasan perumahan Goutte-d'Or di utara Paris pada petang semalam. Dia meninggal dunia selepas tengah malam tadi.

Radio Europe 1 yang pertama melaporkan nahas itu berkata, skuter itu sudah dialihkan sejurus polis tiba di lokasi kejadian.

Sebanyak 12 syarikat menyediakan perkhidmatan menyewa skuter elektrik di bandar itu termasuk Lime and Bird yang berpangkalan di California dan mengendalikan lebih 20,000 buah skuter menerusi aplikasi telefon pintar.

Lazimnya pengguna skuter elektrik menggunakan laluan basikal, tetapi segelintir daripada mereka berada di laluan kereta dan keluar masuk jalan raya tanpa memakai pakaian terang yang mudah dilihat serta topi keledar.

Terdapat laporan pejalan kaki sering dilanggar skuter walaupun terdapat larangan menaiki di siar kaki lima dan lebih 1,000 saman dikeluarkan polis sejak beberapa bulan lalu. -Reuters.

Berita Harian X