Sabtu, 8 Jun 2019 | 11:30am
TIMBALAN Pengerusi Huawei, Guo Ping. - Foto Reuters
TIMBALAN Pengerusi Huawei, Guo Ping. - Foto Reuters

Huawei meterai perjanjian 5G di Russia

MOSCOW: Syarikat Huawei yang dianggap ancaman di Amerika Syarikat, menandatangani perjanjian dengan syarikat telekomunikasi Russia MTS untuk membangunkan rangkaian 5G di negara itu tahun depan.

Perjanjian itu ditandatangani di luar sidang ketika perjumpaan antara pemimpin China Xi Jinping dan Presiden Russia, Vladimir Putin di sini.

“Perjanjian itu bakal menyaksikan pembangunan teknologi 5G dan perasmian awal rangkaian generasi kelima pada 2019-2020,” kata MTS dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengerusi Huawei, Guo Ping berkata, beliau sangat gembira dengan perjanjian itu terutama dalam perkembangan strategik rangkaian 5G.

Syarikat telekomunikasi gergasi China itu berdepan gangguan sejak Mei lalu, apabila pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyekat syarikat di negara itu daripada menjual peralatan teknologi tinggi kepada Huawei, selepas ia disyaki menjadi perisik kepada Beijing.

Menurut pakar, keputusan AS itu bakal berkuat kuasa dalam tempoh tiga bulan, dilihat mampu mengancam kedudukan syarikat itu yang sangat bergantung kepada cip keluaran AS untuk keluaran telefon bimbitnya.

Beberapa syarikat mula menjauhkan diri daripada Huawei sejak keputusan itu diumumkan, ia termasuk Google, yang menjadi pembekal kebanyakan sistem Android untuk telefon pintar di seluruh dunia.

Pada masa sama, Huawei turut melaporkan perkembangan pembabitan dengan rangkaian 5G Britain terbukti menyentuh sensitiviti politik dan kerajaan Theresa may menegaskan masih tidak ada keputusan dibuat berhubung isu itu. - AFP

Berita Harian X