Jumaat, 7 Jun 2019 | 9:16am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

115 juta budak lelaki kahwin bawah umur - PBB

LONDON: Kira-kira 115 juta budak lelaki dikahwinkan ketika masih di bawah umur dengan satu dalam lima berkahwin sebelum mencecah usia 15 tahun, menurut kajian pertama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pengantin kanak-kanak lelaki.

UNICEF menganalisis perkahwinan dan data pendidikan 82 negara dan mendapati Republik Afrika Tengah mencatatkan kelaziman tertinggi pengantin kanak-kanak lelaki dengan 28 peratus, diikuti Nicaragua pada 19 peratus dan Madagascar dengan 13 peratus.

UNICEF berkata, perkahwinan ketika masih kanak-kanak memaksa mereka keciciran sekolah, mempunyai peluang ekonomi terhad, dan terdedah kepada penderaan dan masalah kesihatan mental berbanding mereka yang berkahwin pada usia lewat.

“Perkahwinan mencuri zaman kanak-kanak mereka.

“Pengantin kanak-kanak lelaki dipaksa memikul tanggungjawab dewasa sebelum mereka bersedia.

“Perkahwinan awal menyebabkan mereka menjadi bapa pada usia muda, dan menambah tekanan untuk menyediakan nafkah kepada keluarga, tidak dapat melanjutkan pelajaran dan peluang pekerjaan,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore, dalam kenyataan ketika laporan disiarkan hari ini.

UNICEF berkata, perangkaan bermakna kini ada 765 juta pengantin kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam kalangan 2.2 bilion golongan itu seluruh dunia, tetapi budak perempuan masih berkemungkinan berkahwin awal yang meletakkan mereka dalam risiko isu kesihatan berkaitan kehamilan remaja. — Reuters

Berita Harian X