Sabtu, 4 Mei 2019 | 11:22pm
Langkah Perancis itu mengikuti keputusan Peru untuk melarang skuter bermotor dari kawasan berturap dan pejalan kaki bermula minggu ini. -Foto AFP

Perancis larang e-skuter di kawasan berturap mulai September

PARIS: Perancis akan mengharamkan skuter elektrik (e-skuter) dari kawasan berturap bermula September depan, kata Menteri Pengangkutan Elisabeth Borne sebagai tindak balas terhadap peningkatan gajet komuter itu yang membanjiri kawasan pejalan kaki.

Dianggarkan 15,000 skuter dikendalikan beberapa syarikat membanjiri ibu kota Perancis ini sejak diperkenalkan tahun lalu, jumlah diramalkan meningkat kepada 40,000 menjelang akhir tahun ini.

Borne memberitahu akhbar harian Le Parisien dalam kenyataan diterbitkan hari ini, sesiapa yang menggunakan e-skuter, monowheel, pengangkut peribadi atau hoverboard di kawasan berturap akan didenda 135 euro (RM626.99) bermula September.

Sebaliknya, mereka perlu menggunakan jalan raya atau laluan untuk basikal, ‘supaya pejalan kaki tidak lagi terhimpit ke dinding,’ kata Borne.

“Perkembangan kenderaan pengangkut peribadi popular itu berlaku amat pantas dan dengan cara kacau-bilau,” katanya.

Pengguna masih boleh menolaknya di kawasan berturap selagi enjin dimatikan.

Perkhidmatan menyewa skuter, disediakan syarikat seperti Lime and Bird berpusat di Amerika Syarikat (AS) dan yang terbaharu Uber, terbukti amat popular di bandar besar.

Langkah Perancis itu mengikuti keputusan Peru untuk melarang skuter bermotor dari kawasan berturap dan pejalan kaki bermula minggu ini.

Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo bulan lalu mengumumkan langkah melindungi pejalan kaki daripada e-skuter ‘terutama warga emas dan kanak-kanak.’ -AFP

Berita Harian X