Isnin, 15 April 2019 | 5:22pm
BEKAS Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama. - Foto Independent.ie
BEKAS Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama. - Foto Independent.ie

Michelle Obama pikat penduduk Britain, puji Ratu Elizabeth

LONDON: Bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama, memikat ribuan penduduk ibu kota England semalam, menceritakan anekdot mengenai pertemuan dengan Ratu Elizabeth yang ‘amat mesra dan lucu’ dan memuji kepelbagaian di London pada satu majlis di bandar raya itu.

Michelle, isteri bekas Presiden Barack Obama dari 2009 hingga 2017, berada di London untuk mempromosikan autobiografi paling laris, ‘Becoming’.

Beliau membuatkan penonton, ramai daripada mereka menempuh perjalanan berjam-jam untuk menghadiri acara itu, ketawa bersama-sama selepas beberapa minit berada di atas pentas, mengingatkan semula kekecohan dicetuskan pada 2009 apabila melanggar protokol diraja dengan memeluk bahu Ratu Elizabeth.

“Saya minta maaf,” katanya berjenaka, menjelaskan beliau kemudian belajar menggenggam tangan atau meletakkannya di belakang untuk membendung naluri semula jadinya.

Bagaimanapun, Obama tidak menyesal.

“Saya tidak tahu saya boleh melakukan sesuatu yang berbeza kerana ia adalah reaksi semula jadi manusia,” katanya.

Katanya, beliau tersentuh dengan keputusan Ratu Elizabeth untuk memakai lencana kecil yang diberikan sebagai hadiah, dan menggambarkan pemerintah berusia 92 tahun itu dalam ayat menarik:

“Ia adalah pengalaman saya, menjadi pengalaman saya: kemesraan dan keikhlasan, kebijaksanaan dan kepintaran - saya sukakan beliau.”

Buku Obama sudah membawa beliau ke seluruh Amerika Utara dan Scandinavia.

Selepas London, Obama akan mengunjungi Paris dan Amsterdam. - Reuters

Berita Harian X