Rabu, 10 April 2019 | 8:21am
Pesawat A320-200, Austrian Airlines Airbus di Lapangan Terbang Zurich. - Foto fail Reuters
Pesawat A320-200, Austrian Airlines Airbus di Lapangan Terbang Zurich. - Foto fail Reuters

Perompak larikan wang tunai RM11.46 juta dari pesawat

TIRANA: Polis Albania menangkap empat orang dan menyoal siasat 40 lagi lewat semalam selepas perompak bersenjata melarikan wang jutaan euro dari pesawat Austria Airlines dalam satu rompakan nekad.

Sekumpulan penyerang bersenjata menceroboh landasan di lapangan terbang Tirana awal semalam dan melarikan wang yang akan dipindahkan ke bank di Vienna, kata polis.

Bank asing yang beroperasi di Albania menghantar mata wang mereka ke Vienna kerana bank pusat Albania tidak menerima deposit seperti itu.

Seorang perompak maut ditembak polis.

Mereka menceroboh landasan lapangan terbang antarabangsa Mother Teresa menerusi pagar yang digunakan bomba.

Polis berkata, tiga perompak memakai seragam tentera muncul dan mengancam kakitangan yang mengendalikan bagasi, kemudian melarikan wang berkenaan.

Menurut laporan awal, jumlah yang dilarikan kira-kira 2.5 juta euro (RM11.46 juta), tetapi media tempatan mendakwa ia mungkin lima kali ganda lebih tinggi.

Jurucakap Austria Airlines, Tanja Gruber, berkata wang tunai itu sedang dipindahkan ketika rompakan berlaku. — AFP

Berita Harian X