Sabtu, 30 March 2019 | 7:31pm
Perdana Menteri, Theresa May membuat kenyataan mengenai Brexit di dalam House of Commons di London, Britain. - Foto EPA
Perdana Menteri, Theresa May membuat kenyataan mengenai Brexit di dalam House of Commons di London, Britain. - Foto EPA

Theresa May enggan undur, cuba nasib kali ke-4

LONDON: Buat kali ke-4, Theresa May dan kabinetnya terus mencari jalan untuk membawa perjanjian pengunduran Brexit dari Kesatuan Eropah (EU) ke Dewan Perwakilan bertujuan memenangi sokongan penggubal undang-undang, lapor BBC News.

Perdana Menteri Britain itu berkata, United Kingdom (UK) memerlukan satu alternatif untuk bergerak ke hadapan selepas rancangannya Jumaat lalu tewas di tangan 58 undi.

Penggubal undang-undang daripada semua parti akan menguji sokongan bagi pilihan lain pada pusingan kedua ‘undian pernyataan’ Isnin ini.

Namun, Pengerusi Parti Konservatif, Brandon Lewis berkata, kerajaan tidak menyokong mana-mana pilihan terbabit.

Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn sebaliknya menyeru May untuk menukar perjanjian itu atau meletak jawatan serta-merta, manakala wakil Ireland Utara, yang pernah menyokong kerajaan minoriti May turut menentang perjanjian itu.

Kerajaan setakat ini gagal memenangi hati 34 anggota Konservatif sendiri, termasuk Remainers serta Tory Brexiteers yang menyifatkan perjanjian itu masih meletakkan UK terlalu dekat dengan Eropah.

Tetapi, satu sumber berkata, perdana menteri akan terus mencari sokongan di Dewan Perwakilan.

Mereka menegaskan bahawa usaha itu berada di landasan yang betul, berdasarkan margin kekalahan yang menurun berbanding 149, dua minggu lalu. - Agensi

Berita Harian X