Jumaat, 22 March 2019 | 10:11am
Wanita dan lelaki Islam Bosnia yang terselamat dalam pembunuhan beramai-ramai 1995 berkumpul di tugu peringatan Potocari untuk menyaksikan siaran langsung hukuman dijatuhkan ke atas Karadzic. -Foto AFP

Mangsa Srebrenica sambut baik hukuman seumur hidup Karadzic

SREBRENICA: Saudara mangsa pembunuhan beramai-ramai di Bosnia sini mengalu-alukan keputusan penjara seumur hidup ke atas pemimpin Serbia, Radovan Karadzic atas genosid dan jenayah perang 1990-an.

Panel hakim di The Hague, Belanda menambah hukuman asal Karadzic untuk pembunuhan zaman perang antara etnik Bosnia daripada 40 tahun kepada penjara seumur hidup.

Dia juga didapati bersalah atas peranannya dalam pembunuhan ke atas lebih 8,000 lelaki dan budak lelaki Islam di sini oleh tentera Serbia pada Julai 1995.

Ia adalah pembunuhan paling dahsyat di Eropah sejak Perang Dunia Kedua dan dianggap genosid oleh mahkamah jenayah antarabangsa itu.

Perang tiga tahun antara etnik Croatia, Islam dan Serbia pada 1995 menyebabkan lebih 100,000 maut.

“Terima kasih Tuhan atas hukuman itu,” kata Bida Osmanovic yang mana anak lelakinya berusia 22 tahun, Faruk terbunuh dalam pembunuhan itu.

Beliau antara 50 ibu, saudara perempuan dan balu serta segelintir mangsa lelaki terselamat dalam pembunuhan itu, yang menyaksikan keputusan hukuman di tugu peringatan di Potocari, tidak jauh dari bandar ini.

Anggota keluarga berkumpul di kawasan perkuburan sebelum mendengar keputusan, mengunjungi kubur yang menempatkan orang tersayang.

Wanita Islam Bosnia berdoa di tugu peringatan Potocari di mana lebih 8,000 mangsa perang 1995 dikebumikan. -Foto AFP
Wanita Islam Bosnia berdoa di tugu peringatan Potocari di mana lebih 8,000 mangsa perang 1995 dikebumikan. -Foto AFP

Sebelum keputusan dibacakan, mangsa terselamat berkata, mereka berharap mendengar keputusan sebegitu.

“Satu-satunya harapan dan ingatan saya ialah Karadzic dihukum penjara seumur hidup,” kata Hajrija Oric, 63, yang mana anak lelakinya Elvir, 17, dan suaminya, Sahin dibunuh dalam tragedi itu.

Nedzad Avdic, yang terselamat namun bapanya dibunuh, menegaskan pentingnya keputusan hukuman oleh kerana kebanyakan etnik Serbia, termasuk pemimpin politik tidak mengetengahkan jenayah Srebrenica itu.

“Keputusan ini dibuat terlalu lewat, namun bagi kami ia adalah hari amat penting disebabkan penafian meningkat bahawa ia adalah tindakan genosid. Ia akan menutup mulut sesiapa yang menafikan kekejaman berlaku di sini,” katanya Nedzad, 40.

Ketua tentera Karadzic, Ratko Mladic, digelar ‘Penyembelih Bosnia’ ketika ini merayu hukuman seumur hidup atas dakwaan sama. -AFP

Wanita Islam Bosnia, Suhra Malic, mangsa terselamat dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai Srebrenica 1995, menangis ketika menunjukkan gambar anak lelakinya yang dibunuh, sambil menyaksikan siasan langsung hukuman ke atas Karadzic. -Foto AFP

Berita Harian X