Khamis, 21 March 2019 | 12:37am
WANITA Bosnia memperingati mangsa kekejaman Radovan Karadzic di Srebrenica. - Foto AFP
WANITA Bosnia memperingati mangsa kekejaman Radovan Karadzic di Srebrenica. - Foto AFP

Jenayah perang Bosnia, Karadzic dipenjara seumur hidup

THE HAGUE: Bekas pemimpin Bosnia Serbia, Radovan Karadzic akan menghabiskan sisa hayatnya dalam penjara atas ‘kekejaman sistematik besar-besaran’ dalam perang yang memecahbelahkan negaranya, 25 tahun lalu, kata panel hakim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Karadzic, 73, kaku dalam kandang tertuduh, ketika panel hakim di The Hague berkata, mereka mengekalkan sabitan kesalahannya pada 2016 atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica dan jenayah perang pada 1990-an.

Ia adalah salah satu kes terakhir daripada sejarah pemisahan Yugoslavia, mereka turut meningkatkan hukuman penjara asal 40 tahun Karadzic dengan berkata, ia tidak cukup berbanding peranannya dalam pertumpahan darah terburuk di Eropah, sejak Perang Dunia Kedua.

“Hakim dalam perbicaraan sebelum ini tidak menimbangkan tahap jenayah teruk Karadzic, ketika melakukan kesalahan sepanjang tempoh konflik. Ia adalah kekejaman meluas dan sistematik.

“Justeru panel hakim rayuan mengenakan hukuman penjara seumur hidup,” kata ketua hakim, Vagn Joensen. - AFP

Setakat ini, Karadzic sudah 11 tahun dalam tahanan. Adiknya berkata, tertuduh tenang sebelum keputusan mahkamah itu dibacakan.

Menurut pendakwa raya, Karadzic didapati bersalah atas 10 tuduhan merancang serangan selama empat tahun terhadap penduduk Bosnia di ibu negara Sarajevo dan 10,000 terbunuh akibat tembakan dan serangan meriam.

Dia juga didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica yang menyaksikan lebih 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Muslim dibunuh tentera Bosnia Serbia di timur Bosnia.

Sepatutnya mereka di bawah perlindungan PBB tetapi malangnya menjadi mangsa dan dikebumikan dalam perkuburan besar. - AFP

Berita Harian X