X
Khamis, 28 Februari 2019 | 8:43am
Mencapai matlamat Perjanjian Paris dapat meningkatkan pendapatan perikanan global kepada AS$4.6 bilion setahun. -Foto EPA
Mencapai matlamat Perjanjian Paris dapat meningkatkan pendapatan perikanan global kepada AS$4.6 bilion setahun. -Foto EPA

Pemanasan global jejas bekalan ikan, cetus penghijrahan - Saintis

LONDON: Jutaan orang mungkin hilang mata pencarian, sumber makanan dan terpaksa berpindah jika dunia tidak memenuhi matlamat Paris membendung pemanasan global yang menjejaskan jumlah ikan, kata penyelidik Kanada semalam.

Satu kajian oleh Universiti British Columbia membandingkan impak ekonomi dan alam sekitar jika suhu purata global meningkat kepada 1.5 darjah Celsius, seperti dipersetujui dalam Perjanjian Paris 2015 berbanding senario pemanasan global semasa 3.5 darjah Celsius.

Ketua penyelidik, Rashid Sumaila, pengarah Unit Penyelidikan Ekonomi Perikanan universiti itu berkata, mereka mendapati, memenuhi matlamat Paris akan memberi manfaat kepada 75 peratus negara maritim, dengan perolehan terbesar di negara miskin menerusi peningkatan bekalan ikan.

Perikanan memberi kira-kira 260 juta pekerjaan sepenuh dan separuh masa di peringkat global menerusi produk makanan laut, eksport kritikal kepada negara membangun, menurut kajian diterbitkan dalam jurnal Science Advances.

Namun Sumaila memberi amaran, gagal membendung pemanasan global mungkin mengancam mata pencarian dan sumber makanan jutaan penduduk.

“Ia boleh bertukar kepada krisis besar-besaran oleh kerana ia mungkin mencetuskan perpindahan paksa bukan hanya di peringkat tempatan, namun global.

“Bekalan tetap ikan amat penting bagi menyokong pekerjaan ini, kedaulatan makanan dan kesejahteraan manusia,” katanya menerusi wawancara telefon.

Pemanasan laut, direkodkan oleh ribuan robot terapung, mencatat rekod berulang kali sejak sedekad lalu, dengan 2018 dijangka tahun paling panas setakat ini, menurut satu analisis oleh Akademi Sains China.

Kajian mendapati, Perjanjian Paris dapat meningkatkan jumlah spesies ikan di peringkat global kepada 6.5 peratus dengan purata peningkatan 8.4 peratus di perairan negara membangun.

Sumaila berkata, selain itu, memenuhi matlamat Paris dapat meningkatkan hasil perikanan global kepada AS$4.6 bilion (RM18.77 bilion) setahun.

“Perolehan terbesar akan berlaku di perairan negara membangun seperti Kiribati, Maldives dan Indonesia, yang berdepan risiko besar berikutan suhu panas dan bergantung sepenuhnya kepada perikanan untuk keselamatan makanan, pendapatan dan pekerjaan,” kata Sumaila. - Reuters

Berita Harian X