Rabu, 20 Februari 2019 | 9:19pm
PERDANA Menteri, Theresa May. - Foto AFP
PERDANA Menteri, Theresa May. - Foto AFP

Tiga MP Konservatif keluar parti

LONDON: Tiga ahli perundangan Konservatif yang pro-Kesatuan Eropah (EU) keluar daripada parti itu sebagai membantah cara kerajaan mengendalikan Brexit hari ini.

Tindakan itu menjadi tamparan kepada cubaan Perdana Menteri, Theresa May, untuk menyatukan partinya mengenai rancangan meninggalkan blok itu.

Ahli perundangan berkenaan, pengkritik strategi May untuk meninggalkan EU, berkata dalam kenyataan mereka akan menyertai kumpulan baru di Parlimen yang ditubuhkan tujuh bekas ahli politik Parti Buruh.

May berkata, beliau sedih dengan peletakan jawatan itu tetapi memberi petunjuk akan meneruskan usahanya untuk mencari penyelesaian sebelum Britain dijadualkan meninggalkan EU pada 29 Mac ini.

Namun tindakan itu meletakkan May dalam keadaan lebih lemah di Parlimen, terutama apabila perjanjian Brexit beliau ditolak ahli perundangan bulan lalu apabila golongan yang membantah peningkatan kuasa EU dan penyokong blok itu mengundi menolak perjanjian yang dikatakan kedua-dua pihak memberikan tawaran paling buruk di dunia.

Ia juga akan menyukarkan kedudukan rundingan May di Brussels, yang dikunjungi pemimpin itu untuk berunding dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker, untuk cuba melancarkan usaha teknikal bagi menilai semula perjanjian.

Dengan cuma 37 hari untuk Britain meninggalkan EU, dasar pertukaran perdagangan dan asing dalam masa lebih 40 tahun, perpecahan berhubung Brexit melukis semula landskap politik.

Peletakan jawatan itu mengancam sistem dua parti yang sudah berdekad diamalkan di Britain. — Reuters

Berita Harian X