Selasa, 22 Januari 2019 | 9:12pm
Jeremy Corbyn (berdiri, kanan) cuba menggunakan parlimen untuk menguasai Brexit daripada Perdana Menteri Theresa May (bawah, kiri). - Foto EPA
Jeremy Corbyn (berdiri, kanan) cuba menggunakan parlimen untuk menguasai Brexit daripada Perdana Menteri Theresa May (bawah, kiri). - Foto EPA

Pemimpin Parti Buruh cuba kuasai Brexit daripada May

LONDON: Pemimpin pembangkang Parti Buruh British, Jeremy Corbyn semakin hampir membuka jalan ke arah satu lagi pungutan suara mengenai keanggotaan Kesatuan Eropah (EU) apabila beliau cuba menggunakan parlimen untuk menguasai Brexit daripada Perdana Menteri Theresa May.

United Kingdom (UK) yang berada di ambang krisis politik paling kritikal sejak setengah abad lalu kini tersepit antara bagaimana dan sama ada untuk keluar atau tidak dari projek Eropah yang disertainya pada 1973. Mengikut undang-undang, Brexit akan berkuat-kuasa pada 29 Mac ini.

Selepas usul pengunduran May dari EU ditolak penggubal undang-undang minggu lalu, kekalahan terbesar dalam sejarah British moden, beberapa penggubal undang-undang cuba mengambil alih Brexit daripada kerajaan minoriti May yang semakin lemah.

Parti Buruh mengemukakan pindaan bertujuan memaksa kerajaan memberi masa kepada parlimen untuk mempertimbangkan dan mengundi opsyen mencegah pengunduran ‘tanpa perjanjian’, pilihan yang berulang kali enggan diketepikan May.

Menurut parti itu, antara pilihannya adalah kesatuan kastam yang kekal dengan EU dan ‘undian umum mengenai satu perjanjian’. Kedua-dua cadangan ini ditolak May.

Parti yang berbalah akibat Brexit itu berkata, cadangan berkenaan tidak bermakna ia menyokong undian kedua dan hanya mencerminkan dasarnya yang sedia ada.

“Sudah tiba masa untuk rancangan alternatif Buruh diketengahkan, dalam masa sama mengekalkan semua pilihan sedia ada, termasuk pilihan undian awam,” kata Corbyn.

“Pindaan kami ini akan membolehkan Ahli Parlimen mengundi pilihan bagi menamatkan kebuntuan Brexit dan menghalang kekalutan pengunduran ‘tanpa perjanjian,” katanya.

Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada pindaan parti Buruh itu akan mendapat sokongan di parlimen atau opsyen mana bakal dipilih parti itu. - Reuters

Berita Harian X