Isnin, 10 Disember 2018 | 1:14pm
PRESIDEN Aleksandar Vucic. - Foto AFP
PRESIDEN Aleksandar Vucic. - Foto AFP

Cadangan pelik Serbia tambah penduduk dipersenda

BELGRADE: Kerajaan Serbia menggalakkan pasangan suami isteri melahirkan lebih ramai anak mengemukakan cadangan pelik termasuk membina rumah lebih rendah di kawasan dengan kadar kelahiran paling kurang.

Perpindahan besar-besaran rakyat ke luar negara selain penurunan kadar kelahiran, iaitu pada 1.5 bayi bagi setiap keluarga adalah yang terendah di Eropah, menjadikan kadar penduduk Serbia berkurangan kepada tidak sampai tujuh juta.

Presiden Aleksandar Vucic, berkata ia berdasarkan kajian yang menunjukkan pasangan suami isteri yang menduduki rumah dua hingga empat tingkat memiliki lebih ramai anak berbanding mereka yang menetap di pangsapuri lebih tinggi.

Kenyataan itu mengelirukan media tempatan, dengan sebuah akhbar mencari pakar akademik yang pernah mendengar kajian seumpama itu, tetapi diketawakan.

Menteri yang bertanggungjawab bagi demografik, Slavica Djukic Dejanovic, mempertahankan idea bahawa persekitaran memainkan peranan.

Februari lalu, kementeriannya mengumumkan kempen menangani penurunan kelahiran dan memberikan wang tunai kepada slogan menggalakkan kelahiran terbaik.

Antara pemenang adalah: ‘Ibu, saya tidak mahu bersendirian. Ayah, saya mahukan adik lelaki’ dan ‘Cinta dan bayi adalah apa yang kita lebih perlukan’.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penduduk Serbia dijangka terus menurun sebanyak 15 peratus lagi menjelang 2050.

Berita Harian X