Isnin, 26 November 2018 | 7:46am

Rumah tempat paling berbahaya untuk wanita - UNODC

VIENNA : Lebih dari separuh wanita yang maut dibunuh tahun lalu menemui ajal di tangan pasangan atau anggota keluarga sendiri, menjadikan rumah antara tempat paling berbahaya buat golongan itu.

Kajian terbaru Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) yang dibentangkan pada Hari Membanteras Jenayah Terhadap Wanita Antarabangsa semalam menganggarkan bahawa 50,000 atau 58 peratus dari 87,000 kes bunuh membabitkan golongan berkenaan di seluruh dunia tahun lalu dilakukan pasangan atau ahli keluarga.

Kira-kira 30,000 atau 34 peratus kes dilakukan pasangan mangsa sendiri.

“Jumlah ini bermakna terdapat enam wanita dibunuh setiap hari oleh individu yang mereka kenali,” kata badan berpangkalan di Vienna itu.

Majoriti mangsa pembunuhan seluruh dunia, kira-kira 80 peratus adalah lelaki namun wanita ‘terpaksa membayar harga begitu tinggi sebagai kesan ketidakadilan jantina, diskriminasi dan stereotaip negatif,” kata ketua UNODC, Yury Fedotov.

“Mereka juga dibunuh pasangan atau ahli keluarga, membuatkan kediaman sendiri adalah tempat paling berbahaya buat golongan ini.

“Hakikat bahawa wanita terus menjadi mangsa pada skala lebih teruk berbanding lelaki sebenarnya adalah petunjuk terhadap ketidakseimbangan kuasa antara wanita dan lelaki dalam satu persekitaran domestik,” katanya.

Kiraan UNODC menunjukkan bahawa kadar global untuk mangsa pembunuhan wanita adalah sekitar 1.3 mangsa bagi setiap 100,000 populasi golongan terbabit.

Kajian berkenaan juga mendapati wanita di Afrika dan Amerika lebih berisiko untuk dibunuh pasangan sendiri atau ahli keluarga.

Di Afrika, kadarnya ialah 3.1 mangsa bagi setiap 100,000 wanita manakala 1.6 di Amerika, 1.3 di Oceania dan 0.9 di Asia.

Kadar terendah adalah di Eropah, dengan kiraan 0.7 mangsa untuk setiap 100,000 populasi wanita. - AFP

Berita Harian X