Isnin, 22 Oktober 2018 | 9:30pm
BURUNG albatros dari spesies terancam, Tristan. - Foto YouTube

Tikus gergasi ancam populasi burung di Atlantik Selatan

LONDON: Tikus yang dibawa pelayar pada abad ke-19 ke kepulauan terpencil Atlantik Selatan kini mendatangkan ancaman pada burung laut termasuk burung albatros dari spesies terancam, Tristan.

Persatuan Perlindungan Burung Diraja (RSPB) berkata, koloni tikus itu telah berkeliaran di Pulau Gough yang tidak berpenghuni dan membunuh dua juta ekor burung setiap tahun.

“Kami tahu sejumlah besar burung dan telur telah dimakan setiap tahun tetapi jumlah sebenar sering berubah-ubah,” kata penyelidik Muzium Sejarah Semulajadi London, Alex Bond dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh RSPB.

Menurut RSPB, tikus pemangsa itu telah membesar dua atau tiga kali ganda berbanding tikus rumah dan sering menyerang secara berkumpulan serta memakan daging burung-burung berkenaan, menyebabkan mangsa menderita beberapa hari sebelum mati akibat jangkitan pada luka.

RSPB berkata, antara spesies yang menjadi mangsa koloni tikus terbabit termasuk burung bunting Gough dan burung petrel Atlantik.

Pulau Gough terletak di wilayah sama menempatkan Pulau Tristan da Cunha dan Saint Helena, iaitu kediaman Napoleon selepas diusir sebelum meninggal dalam buangan pada tahun 1821.

Kerajaan Tristan da Cunga dan RPSB dengan kerjasama antarabangsa sedang berusaha menghapuskan semua tikus di Pulau Gough menjelang tahun 2020, menggunakan khidmat dua helikopter yang dilengkapi penabur beracun.

“Usaha mengembalikan semula pulau itu kepada keadaan lebih baik akan membantu mencegah kematian jutaan burung,” kata pengurus program penghapusan tikus RSPB, John Kelly.

Beliau berkata operasi itu dijangka berdepan sedikit kesukaran memandangkan semua peralatan dan petugas perlu dibawa ke pulau itu yang terletak 2,800 kilometer dari Afrika Selatan. - AFP

Berita Harian X