Ahad, 7 Oktober 2018 | 11:28am
Penunjuk perasaan pro-kemerdekaan mengambil bahagian dalam perarakan dan perhimpunan di Edinburgh, Scotland. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan pro-kemerdekaan mengambil bahagian dalam perarakan dan perhimpunan di Edinburgh, Scotland. - Foto REUTERS

20,000 berarak desak kemerdekaan Scotland

EDINBURGH: Kira-kira 20,000 penduduk berarak di sekitar bandar raya ini, semalam, mendesak kemerdekaan Scotland, iaitu kurang enam bulan sebelum Britain melaksanakan rancangannya untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Pemimpin Parti Kebangsaan Scotland (SNP), Nicola Sturgeon, sebelum ini berjanji membentangkan rancangannya untuk mengadakan satu lagi pungutan suara, apabila terma pelaksanaan Brexit semakin jelas.

Pengumuman itu dijangka dibuat pada sidang media parti itu minggu depan, namun rundingan antara London dan Brussels mengenai Brexit masih menemui jalan buntu.

Berikutan itu, Sturgeon berkata, beliau mungkin menangguhkan rancangan untuk mengadakan pungutan suara hingga tahun depan.

Terdahulu, dalam pungutan suara yang berlangsung pada 2016, rakyat Scotland mengundi untuk kekal dalam EU dan cadangan itu dibantah oleh Sturgeon.

Sementara itu, Perdana Menteri, Theresa May enggan meluluskan satu lagi undian bagi kemerdekaan, yang memerlukan kelulusan daripada Parlimen di London.

Ia sekali gus menjejaskan keinginan Sturgeon untuk mengadakan undian sebelum Britain dijadualkan keluar dari EU pada Mac depan. - AFP

Berita Harian X