Ahad, 30 September 2018 | 11:41am

Masalah aplikasi dedah nombor telefon menteri

LONDON: Nombor telefon dan butiran peribadi lain menteri kanan Parti Konservatif termasuk Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar, Michael Gove dan bekas Menteri Luar, Boris Johnson, terdedah kepada orang awam susulan masalah keselamatan aplikasi semalam.

Beberapa ahli Parlimen dilaporkan menerima panggilan mengganggu selepas profil mereka boleh dimasuki pada aplikasi telefon rasmi bagi sidang kemuncak tahunan parti, yang bermula hujung minggu ini.

Pelanggaran keselamatan itu menyaksikan orang awam boleh memasuki profil ahli politik dengan menggunakan emel mereka, titik hubungan yang mudah diperoleh atas talian, untuk melihat dan mengedit data di dalamnya.

Gambar profil Johnson ditukar untuk pornografi dan pekerjaannya ditukar kepada berunsur penghinaan, menurut beberapa pengguna Twitter.

Sementara gambar Gove ditukar kepada hartawan media, Rupert Murdoch, bekas majikannya ketika beliau menjadi wartawan.

Antara yang pertama melaporkan masalah itu ialah kolumnis akhbar The Guardian, Dawn Foster.

“Aplikasi persidangan Konservatif membolehkan anda mendaftar masuk sebagai orang lain dan melihat butiran hubungan cuma dengan alamat emel, tiada pautan keselamatan emel dan komen sebagai mereka.

“Mereka menjadikan nombor telefon wartawan, ahli politik dan mereka yang hadir terdedah kepada umum,” katanya. — AFP

Berita Harian X