ROME: Lembaga pengarah syarikat automotif Fiat Chrysler, Ferrari dan CNH Industrial mengadakan mesyuarat kecemasan, hari ini untuk berbincang menggantikan ketua mereka Sergio Marchionne akibat masalah kesihatan, lapor laman web Automotive News.
Tujuan mesyuarat tengah hari tadi adalah untuk menentukan sama ada perlu melantik ketua sementara atau kekal untuk menggantikan Marchionne yang mengalami komplikasi teruk, susulan pembedahan bahu kanan, bulan lalu.
Marchionne, 66, yang mengambil alih pengeluar kereta Itali, Fiat pada 2004 sudah merancang untuk meletak jawatan, tahun depan.
Sepanjang 14 tahun kepimpinannya, beliau banyak mengubah kumpulan itu dengan memperbaiki hala tuju Fiat, kemudian menggabungkannya dengan pengeluar kereta Amerika Syarikat (AS), Chrysler dan mengembalikan jenama mewah Ferrari pada 2016.
Beliau memainkan pelbagai peranan sepanjang tempoh itu termasuk mengetuai kumpulan gabungan Fiat Chrysler serta pengeluar jentera pertanian CNH.
Media Itali melaporkan bahawa Louis Camilleri yang kini ahli lembaga pengarah Ferrari dijangka menajdi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pengeluar kereta terbabit.
Cucu pengasas Fiat, Gianni Agnelli, John Elhann dijangka menjadi pengarusi Ferrari. Fiat enggan mengulas mengenai laporan itu, ketika dihubungi. - AFP