Sabtu, 10 March 2018 | 8:33pm
PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto EPA-EFE
PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto EPA-EFE

Tiada rancangan ubah Perlembagaan - Putin

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin, yang dijangka dipilih semula bagi penggal keempat pada pilihan raya tidak lama lagi, berkata beliau tidak merancang meminda Perlembagaan untuk kekal berkuasa selepas 2024.

Ditanya rangkaian televisyen Amerika Syarikat (AS), NBC sama ada beliau akan mengikut langkah Presiden China, Xi Jinping yang mahukan tiada had penggal pemerintahan, Putin menegaskan beliau tidak mempunyai hasrat berbuat demikian.

"Saya tidak pernah mengubah Perlembagaan, saya tidak melakukannya untuk menyesuaikan ia dengan diri saya dan saya tiada rancangan untuk melakukannya," katanya dalam temu bual menerusi transkrip yang diterbitkan Kremlin hari ini.

Pengkritik menuduh Putin yang pertama kali dipilih pada 2000 dan akan bertanding untuk penggal keempat pada pilihan raya 18 Mac ini mempunyai hasrat untuk terus kekal berkuasa.

Putin sering berbangga dengan dirinya kerana menghormati Perlembagaan yang melarang beliau berkhidmat lebih daripada dua penggal sebagai Presiden secara berterusan.

Pada 2008, Putin menjadi Perdana Menteri tetapi mengekalkan cengkaman beliau ke atas kuasa dengan anak didiknya, Dmitry Medvedev berkhidmat sebagai Presiden sehingga 2012, apabila beliau kembali ke Kremlin.

"Mengapa kamu memikirkan selepas saya berkuasa, Russia akan diambil alih oleh orang yang mahu memusnahkan apa yang sudah saya lakukan sebelum ini?" katanya.

Katanya, beliau memikirkan pengganti berpotensi beliau sejak 2000.

"Tidak salah memikirkannya, namun rakyat Russia juga yang akan menentukan perkara ini," katanya. - AFP

Berita Harian X