Sabtu, 10 March 2018 | 12:34pm
JOHN Sulston.

Saintis British pelopor genome manusia meninggal dunia

LONDON : Saintis British yang berjaya merungkai misteri genome manusia, John Sulston meninggal dunia pada usia 75 tahun, semalam.

Pengarah Institut Wellcome Sanger, Mike Stratton berkata, profesor yang juga pemenang Hadiah Nobel itu adalah seorang tokoh terkemuka dalam bidang sains.

Menurut beliau, Sulston memiliki wawasan tersendiri khususnya dalam bidang pemetaan genome manusia.

"Kemahiran beliau dalam bidang itu tidak ada tandingan dan penemuan yang dihasilkan membolehkan mendiang memenangi Hadiah Nobel Perubatan pada tahun 2002 bersama rakan sejawatnya, Sydney Brenner." katanya.

Turut dinobatkan sebagai pemenang untuk kategori sama pada tahun itu adalah saintis Amerika Syarikat, H. Robert Horvitz menerusi penyelidikan mengenai gen manusia.

Sulston sepanjang hayatnya amat terkenal menerusi sumbangan dalam projek antarabangsa membabitkan pemetaan genome manusia dan inisiatif untuk menyimpan data itu secara umum bagi memudahkan ia diguna pakai.

Mendiang juga mengasaskan penubuhan Institut Wellcome Sanger berhampiran Universiti Cambridge pada tahun 2002 yang kini tampil sebagai peneraju penyelidikan genome. - AFP

Berita Harian X