Sabtu, 3 Februari 2018 | 1:59pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Pemutihan zakar undang risiko - Pakar

PARIS: Pakar bedah plastik menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kegilaan terhadap pemutihan zakar di Thailand dan mendakwa ia sebagai 'fesyen' yang tidak memberi berfaedah, malah mengundang pelbagai risiko.

Justeru, pakar memberi amaran bahawa penggunaan laser, asid atau bahan kimia yang dianggap kegilaan terbaru dalam kecantikan alat kelamin, boleh menyebabkan zakar luka terbakar, berparut, kesat atau gelap.

"Saya berpendapat ia tidak seharusnya dilakukan terhadap pesakit yang tidak memerlukannya.

"Kebanyakan bahan yang digunakan untuk memutihkan (zakar) agak agresif.

"Saya sangat berhati-hati ketika melakukan sebarang prosedur pemutihan," kata pakar pembedahan plastik Itali, Massimiliano Brambilla, AFP.

Awal bulan ini, sebuah klinik di Bangkok mendakwa seramai 100 lelaki mendapatkan khidmat pemutihan zakar setiap bulan, iaitu selepas enam bulan mereka menawarkan prosedur itu.

Klinik berkenaan mengenakan bayaran kira-kira AS$650 (RM2,526) untuk lima sesi menggunakan laser.

Menurut statistik global yang dihasilkan oleh Pertubuhan Pakar Bedah Plastik Estetik Antarabangsa (ISAPS), Thailand menduduki tangga ke-21 daripada segi bilangan prosedur kosmetik yang dilakukan pada 2016. - AFP

Berita Harian X