Khamis, 25 Januari 2018 | 12:01am
Muzium Louvre Paris.

Louvre tutup ruang pameran seni Islam

PARIS: Muzium Louvre menutup pameran seni Islam di tingkat bawah tanah hari ini susulan peningkatan mendadak paras Sungai Seine, yang melimpah berikutan hujan lebat beberapa minggu.

Seine melimpah awal minggu ini dan meningkat terlalu tinggi bagi bot di Paris untuk melalui bawah jambatan purba yang mengelilingi gereja Notre Dame.

Pelancong dan penduduk tempatan dinasihatkan menjauhi tebing kerana bimbang terperangkap dalam pusaran air, dan tongkang yang diikat di dermaga kelihatan seolah-olah ia terkandas di tengah sungai lebih luas.

Enam stesen kereta api terletak berhampiran sungai itu, termasuk St Michel di Latin Quarter yang menarik ramai pelancong juga terpaksa ditutup.

Louvre, muzium terbesar dunia yang turut mempamerkan potret Mona Lisa lukisan Leonardo da Vinci dan patung Venus de Milo, memutuskan untuk menutup galeri bawah tanahnya sebagai langkah berjaga-jaga kerana sebahagian besar bangunan itu bersempadan dengan Seine.

Ia tidak menyebut sama ada mahu memindahkan bahan pameran dari kawasan itu.

"Unit krisis sedang memantau keadaan," kata Louvre dalam kenyataan. - Reuters

Berita Harian X