Ahad, 7 Januari 2018 | 7:41am
GAMBAR fail, Perdana Menteri Britain, Theresa May (kanan) mendengar sesuatu yang diperkatakan John Redwood semasa lawatan ke pembangunan perumahan baru, Montague Park di Wokingham pada 3 Januari 2018. - Foto Getty Images
GAMBAR fail, Perdana Menteri Britain, Theresa May (kanan) mendengar sesuatu yang diperkatakan John Redwood semasa lawatan ke pembangunan perumahan baru, Montague Park di Wokingham pada 3 Januari 2018. - Foto Getty Images

PM Britain rombak Kabinet esok

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May, dijangka mengumumkan rombakan Kabinet, esok tetapi mengekalkan Menteri Luar, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Brexit, lapor akhbar Sunday Times.

Laporan menyatakan rombakan bertujuan membawa masuk lebih ramai ahli perundangan wanita muda dan bukan berkulit putih ke dalam Kabinet dalam cubaan mengambil hati pengundi yang tidak menyokong May pada pilihan raya tahun lalu.

May juga dijangka mengumumkan Setiausaha Pertama baru negara, berkhidmat sebagai tokoh nombor dua Britain, selepas Damian Green terpaksa meletak jawatan, bulan lalu.

May yang menjadi Perdana Menteri sejurus selepas pungutan suara Brexit pada pertengahan 2016, dijangka menyusun semula barisan menterinya selepas hilang majoriti Parlimen pada pilihan raya 2017.

Parti Konservatif pimpinannya bersaing sengit dengan Parti Buruh dalam tinjauan pendapat dan cuma dipisahkan dengan perbezaan mengenai hubungan dengan Kesatuan Eropah selepas ia meninggalkan blok itu, pada 2019.

Akhbar itu melaporkan, menteri yang dijangka kehilangan jawatan atau dipindahkan memegang tugas lain termasuk pengerusi parti, Patrick McLoughlin; Menteri Pendidikan, Justine Greening dan Menteri Perniagaan, Greg Clark. - Reuters

Berita Harian X