Rabu, 20 Disember 2017 | 11:16pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Pembunuhan Srebrenica, 3 askar Serbia ditahan

SARAJEVO: Polis Bosnia menahan tiga etnik Serbia hari ini termasuk seorang komander briged ketika perang saudara negara itu kerana didakwa mengambil bahagian dalam pembunuhan beramai-ramai 8,000 Muslim Srebrenica pada 1995.

Pendakwa raya berkata, Mile Kosoric, 64, bekas komander dan dua anggota brigednya termasuk ketua unit khas, ditahan di kawasan timur Vlasenica dan Han Pijesak.

"Suspek sedang disiasat berkaitan jenayah perang dan membantu genosid," kata pejabat pendakwa raya Bosnia.

November lalu, hakim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas ketua tentera Serbia Ratko Mladic atas genosid di Srebrenica dan jenayah perang lain.

Kira-kira 8,000 Muslim lelaki dan budak lelaki disembelih di tangan tentera Mladic di timur Bosnia pada Julai 1995.

Sejumlah 100,000 orang terbunuh dalam perang Bosnia 1992-1995 yang memecah belahkan Muslim, Serbia dan Croatia ketika Yugoslavia tumbang.

Pendakwa raya berkata, siasatan terbaharu membabitkan pembunuhan sekurang-kurangnya 30 orang Islam yang terpisah daripada konvoi pelarian meninggalkan Srebrenica selepas ia ditawan tentera Serbia.

Mereka dikurung dalam sebuah sekolah sebelum dibawa ke satu tempat untuk dibunuh. Setakat ini, baki mayat 6,733 mangsa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica dikenal pasti dan dikebumikan, menurut Institut Orang Hilang Bosnia. - AFP

Berita Harian X