Ahad, 4 September 2022 | 4:51pm
Orang ramai berkayuh melalui jalan banjir di Windsor di pinggir Sydney. - Foto AP
Orang ramai berkayuh melalui jalan banjir di Windsor di pinggir Sydney. - Foto AP

Australia Timur dilanda ribut kencang, beberapa amaran dikeluarkan

SYDNEY: Sebahagian kawasan timur Australia berada di bawah amaran cuaca buruk dan banjir, kata agensi cuaca negara itu hari ini, beberapa bulan selepas banjir besar melanda pantai timur negara itu.

Mac lalu, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan puluhan ribu lagi penduduk dipindahkan akibat cuaca ekstrim di Queensland dan New South Wales, menenggelamkan pusat bandar, menghanyutkan banyak rumah dan mengakibatkan bekalan elektrik terputus.

Biro Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk akibat angin kencang di bahagian tenggara Queensland.

Katanya, tiupan angin kencang itu mungkin berlaku sepanjang hari, sekitar 100 kilometer sejam (km/j).

"Dapatkan tempat untuk berlindung, sebaik-baiknya di dalam rumah dan jangan sekali-kali di bawah pokok. Berhati-hati dengan pokok tumbang dan pencawang elektrik," katanya.

Setakat ini, empat amaran banjir telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Di negeri jirannya, New South Wales, lapan amaran banjir dikeluarkan, selain amaran cuaca buruk, ia adalah kawasan yang teruk dilanda krisis cuaca Mac lalu.

Ketika krisis itu berlaku Mac lalu, helikopter tentera mengangkut mangsa yang terkandas dari atas bumbung, manakala pemandu dan haiwan diselamatkan dari jambatan selepas air yang makin deras menenggelamkan tanah di sekitarnya. - REUTERS

Berita Harian X