Khamis, 1 September 2022 | 3:23pm
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengumumkan satu perjanjian awal hari ini untuk menyediakan Sri Lanka peruntukan AS$2.9 bilion (RM13 bilion) dalam tempoh empat tahun. - Foto AGENSI
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengumumkan satu perjanjian awal hari ini untuk menyediakan Sri Lanka peruntukan AS$2.9 bilion (RM13 bilion) dalam tempoh empat tahun. - Foto AGENSI

IMF sedia pakej kewangan AS$2.9 bilion kepada Sri Lanka

COLOMBO: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengumumkan satu perjanjian awal hari ini untuk menyediakan Sri Lanka peruntukan AS$2.9 bilion (RM13 bilion) dalam tempoh empat tahun bagi membantu menyelamatkan negara itu daripada krisis ekonomi terburuk.

Dalam satu kenyataan, pasukan IMF yang melawat Sri Lanka berkata, ia akan berfungsi untuk memulihkan kestabilan kewangan serta makroekonomi serta kemampanan hutang serta membuka potensi pertumbuhan negara.

Pakej itu juga bergantung pada kelulusan daripada pengurusan dan lembaga eksekutif IMF, serta menerima jaminan daripada pemiutang Sri Lanka termasuklah negara seperti China, India dan Jepun, mengenai kemampanan pemulihan hutang.

"Pelepasan hutang daripada Sri Lanka dan pembiayaan tambahan daripada rakan kongsi pelbagai hala akan diperlukan untuk membantu memastikan kemampanan hutang dan merapatkan jurang pembiayaan," kata kenyataan itu.

Sri Lanka berada di tengah-tengah krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan kekurangan barang keperluan yang parah sejak berbulan-bulan lamanya, seperti bahan api, ubat-ubatan dan gas memasak, berpunca dari kekurangan mata wang asing.

Meskipun bekalan gas memasak sudah dipulihkan melalui sokongan Bank Dunia tetapi kekurangan bahan api, ubat-ubatan kritikal dan beberapa bahan makanan masih berterusan.

Pulau itu juga menangguhkan pembayaran balik hutang asing hampir AS$7 bilion (RM31 bilion) yang perlu dibayar untuk tahun ini.

Jumlah hutang asing negara berjumlah lebih daripada AS$51 bilion (RM228.6 bilion) dengan AS$28 bilion (RM125.5 bilion) perlu dibayar semula menjelang 2028.

Kata IMF lagi, ekonomi Sri Lanka dijangka menyusut sebanyak 8.7 peratus pada 2022 dengan inflasi meningkat melebihi 60 peratus dan kesannya sudah melanda golongan miskin, yang paling terdedah.

IMF juga berkata, pakej itu akan memberi tumpuan untuk menstabilkan ekonomi, melindungi mata pencarian rakyat dan membantu merangsang pertumbuhan.

Elemen utama termasuklah pembaharuan harga cukai, tenaga utama, meningkatkan perbelanjaan sosial, menambah rizab pertukaran asing dan memperkenalkan rangka kerja undang-undang antirasuah yang lebih kukuh.

Selasa lalu, Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, berkata perbincangan dengan IMF berjaya mencapai peringkat akhir apabila beliau membentangkan belanjawan sementara yang bertujuan untuk mendapatkan pakej menyelamat.

Langkah-langkah yang digariskan meliputi menaikkan beberapa cukai, mengurangkan perbelanjaan modal, menjinakkan inflasi dan mengukuhkan program bantuan.

Wickremesinghe menyampaikan cadangan belanjawan pertamanya selepas beliau dipilih oleh Parlimen pada Julai lalu untuk mengisi baki tempoh lima tahun Presiden yang digulingkan, Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri dari negara itu pada bulan sama dan meletak jawatan selepas penunjuk perasaan menyalahkan beliau dan keluarganya atas krisis ekonomi negara malah menyerbu kediaman rasminya.

Wickremesinghe berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain turut melancarkan program untuk memastikan keselamatan makanan.

Tambahnya, sekolah sudah dibuka semula dan universiti turut menyambung semula kelas selepas lama ditutup, namun bekalan bahan api masih menjadi isu. - AP

Berita Harian X