Isnin, 19 September 2022 | 9:39pm
Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov dalam ucapan berhubung pertempuran di sempadan dengan Tajikistan yang mengakibatkan hampir 100 orang maut. - Foto EPA
Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov dalam ucapan berhubung pertempuran di sempadan dengan Tajikistan yang mengakibatkan hampir 100 orang maut. - Foto EPA

Susulan pertempuran di sempadan Tajikistan, Presiden Kyrgyzstan pilih jalan damai

BISHKEK: Presiden Kyrgyzstan, hari ini menyeru rakyat negara Asia Tengah itu untuk bersatu susulan pertempuran di sempadan dengan negara jiran, Tajikistan yang menyebabkan hampir 100 orang terbunuh.

Keganasan terburuk yang pernah dilihat antara dua negara bekas Soviet sejak beberapa tahun lalu itu tercetus minggu lalu di sempadan yang dipertikaikan, meningkatkan lagi kebimbangan berlakunya konflik berskala besar.

Pertempuran kerap meletus antara kedua-dua negara jiran Asia Tengah itu kerana kira-kira separuh daripada sempadan mereka sepanjang 970 kilometer masih perlu bertanda.

"Buat masa ini, tembakan yang meragut nyawa di sempadan sudah berakhir," kata Presiden Sadyr Japarov dalam ucapan ketika hari berkabung kebangsaan, hari ini.

Beliau juga menggesa rakyatnya untuk tidak mempedulikan "kenyataan provokatif" dalam talian yang bertujuan "mendinginkan hubungan rakyat kami yang ramah dengan negara lain yang bekerjasama dengan kami."

Rayuan itu dilihat sebagai usaha bagi menghalang sebarang pergolakan dalaman di negara itu, yang menyaksikan tiga revolusi sejak 2005, terakhir pada 2020 yang memberi kuasa kepada Japarov.

"Kita minta rakyat bertenang dan menyokong inisiatif pihak berkuasa dan angkatan tentera yang berusaha tingkatkan perpaduan," katanya.

Beliau juga memberi jaminan, negara mempunyai dana yang mencukupi untuk kelengkapan tentera dan membiayai pembinaan semula rumah yang musnah dalam pertempuran itu.

"Hari ini, tentera kita berada dalam keadaan berbeza. Ini dibuktikan dengan fakta bahawa mereka yang menceroboh tanah kita menerima hukuman mereka," katanya. - AFP

Berita Harian X