Ahad, 28 Ogos 2022 | 9:43pm
 Foto fail AFP
Foto fail AFP

Bangladesh bakal import 500,000 tan gandum dari Russia

DHAKA: Bangladesh akan mengimport 500,000 tan gandum pada harga AS$430 (RM1,921) satu tan dari Russia dalam perjanjian kerajaan dengan kerajaan ketika negara itu berusaha mendapatkan bekalan di tengah-tengah kenaikan harga, kata dua pegawai kerajaan yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu hari ini.

Negara Asia Selatan itu antara pengimport yang terjejas akibat gangguan eksport bijirin Ukraine dan Russia.

Susulan itu, Bangladesh meneroka kaedah lain untuk mengimport bijirin itu sejak pembekal terbesarnya India mengharamkan eksport tanaman itu mulai Mei lalu.

Menurut seorang pegawainya, perjanjian dengan Russia akan ditandatangani dalam tempoh beberapa hari lagi dan penghantaran akan dilakukan secara berperingkat menjelang Januari.

Dalam pada itu, seorang pegawai lain memberitahu, Bangladesh akan membayar dalam dolar AS untuk semua kos termasuk pengangkutan, insurans dan pemunggahan.

Penasihat industri dan pelaburan swasta kepada Perdana Menteri, Salman Fazlur Rahman memberitahu Reuters, Bangladesh membeli bijirin dan baja dari Russia tetapi tidak menjelaskannya secara terperinci.

"Kami boleh membuat pembayaran dalam dolar untuk import bijirin makanan dan baja dari Russia melalui 24 bank global, tanpa sekatan ke atas import bekalan berkenaan," katanya.

Selepas larangan eksport diumumkan India, Bangladesh mencuba melalui tender antarabangsa untuk menambah stok kerajaan yang mencecah paras terendah dalam tempoh tiga tahun pada awal tahun ini, tetapi terpaksa membatalkan beberapa tender kerana harga yang sangat tinggi mengambil kira pasaran global semasa yang tidak menentu.

Bangladesh adalah pengimport utama gandum dari Laut Hitam tetapi tiada bekalan sampai ke negara itu sejak perang Russia-Ukraine bermula pada Februari lalu.

Negara itu mengimport 5.4 juta tan gandum sehingga Jun 2021, dengan 24 peratus bekalannya datang dari India, 21 peratus dari Russia dan 17 peratus dari Ukraine.

Sementara itu, menurut pegawainya, Bangladesh juga sedang mengkaji cadangan Russia untuk mengimport bahan api yang lebih murah walaupun berdepan cabaran dari segi kos yang dijangka meningkat mengambil kira sekatan Barat ke atas Moscow. - REUTERS

Berita Harian X