Rabu, 10 Ogos 2022 | 4:26pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Virus baharu Langya jangkiti 35 individu di China

BEIJING: Virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan dan boleh tersebar kepada manusia dikesan sudah menjangkiti 35 individu di wilayah Shandong dan Henan, menurut kajian saintis dari China, Singapura dan Australia yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.

Setakat ini, tiada bukti penularan membabitkan manusia kepada manusia yang lain.

Menurut laporan The Guardian, Henipavirus yang turut dikenali sebagai Langya henipavirus atau LayV kali pertama dikesan pada akhir 2018, namun dikenal pasti secara rasmi oleh saintis hanya pada minggu lalu.

Difahamkan, ia ditemukan hasil sistem pengesanan awal untuk individu yang demam dan memiliki sejarah terdedah kepada haiwan dalam tempoh terdekat.

Virus itu ditemui selepas ujian calitan di kerongkong yang dilaksanakan ke atas pesakit, dengan kebanyakannya adalah kelompok petani.

Virus ini disahkan baharu, bermakna ia tidak menjangkiti manusia sebelum ini.

Bagaimanapun, lapor The Sun, dua virus daripada keluarga yang sama dikenal pasti sebelum ini iaitu virus Hendra dan virus Nipah.

Kedua-duanya boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan kadangkala membawa maut, malah tiada vaksin atau rawatan sebagai langkah pembendungan.

Menurut laporan The Global Times, kajian menunjukkan 26 daripada 35 kes jangkitan henipavirus Langya di wilayah Shandong dan Henan mengalami gejala klinikal seperti demam, kerengsaan, batuk, anoreksia, mialgia, loya, sakit kepala dan muntah.

Seorang pakar dari Program Penyakit Berjangkit di Sekolah Perubatan Duke-NUS di Singapura yang terbabit dalam kajian itu, Profesor Wang Linfa, berkata setakat ini, kes membabitkan virus berkenaan tidak membawa maut atau terlalu serius, justeru tidak perlu panik mengenainya.

Beliau berkata, orang ramai disaran mengambil langkah waspada kerana banyak virus yang wujud di alam semula jadi tidak dapat diramal apabila ia menjangkiti manusia. - AGENSI

Berita Harian X