Rabu, 20 Julai 2022 | 8:03am
Pilihan raya presiden Sri Lanka diadakan di tengah-tengah kegawatan ekonomi dan politik yang besar di negara pulau itu. - Foto AGENSI
Pilihan raya presiden Sri Lanka diadakan di tengah-tengah kegawatan ekonomi dan politik yang besar di negara pulau itu. - Foto AGENSI

Parlimen Sri Lanka undi presiden baharu ganti Rajapaksa

COLOMBO: Parlimen Sri Lanka akan membuat undian hari ini bagi memilih presiden baharu menggantikan Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri ke luar negara minggu lalu selepas istananya diserbu penunjuk perasaan.

Pemenang dalam pertandingan tiga penjuru itu bakal mewarisi negara yang muflis dan sedang berunding bagi mendapatkan suntikan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), selain 22 juta rakyat yang kekurangan bekalan makanan, minyak dan ubat yang kritikal.

Penganalisis berpandangan, bekas perdana menteri enam kali yang memangku jawatan presiden, Ranil Wickremesinghe mendahului saingan itu, namun dibenci penunjuk perasaan yang melihatnya sebagai sekutu Rajapaksa.

Tunjuk perasaan selama beberapa bulan akibat krisis ekonomi, memaksa Rajapaksa mengumumkan peletakan jawatan minggu lalu di Singapura, beberapa hari selepas pihak tentera menyelamatkannya dari kediamannya.

Kejatuhannya dilihat memberi kesan besar pada kelompok yang mendominasi politik Sri Lanka sejak 20 tahun lalu, berikutan abangnya turut meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan awal tahun ini.

Wickremesinghe, 73, mendapat sokongan parti Rajapaksa, SLPP yang juga blok terbesar di Parlimen Sri Lanka yang memiliki 225 kerusi.

Sebagai pemangku presiden, Wickremesinghe melanjutkan tempoh darurat yang memberi kuasa tambahan kepada polis dan pasukan keselamatan, dan mengarahkan tentera menghalau penunjuk perasaan keluar daripada bangunan kerajaan minggu lalu.

Pembangkang menyifatkan tindakan keras Wickremesinghe terhadap penunjuk perasaan, membantu Ahli Parlimen yang menjadi sasaran keganasan penunjuk perasaan, dan pasti SLPP akan menyokongnya.

Penganalisis politik, Kusal Perera juga berpandangan Wickremesinghe memiliki 'sedikit kelebihan', meskipun partinya hanya memiliki satu kerusi dalam pilihan raya pada Ogos 2020.

"Wickremesinghe kembali diterima masyarakat kelas pertengahan di bandar apabila memulihkan bekalan seperti gas, dan memulihkan situasi di bangunan kerajaan yang menunjukkan ketegasannya," katanya.

Pemerhati percaya, Wickremesinghe akan mengambil tindakan keras jika menang, manakala penunjuk perasaan yang menuduhnya melindungi kepentingan Rajapaksa, akan kembali ke jalan raya. - AFP

Berita Harian X