Selasa, 19 Julai 2022 | 5:35pm
Demonstrasi jalanan yang berterusan kini memasuki hari ke-100 di kawasan Galle, dekat sekretariat Presiden di Colombo, Sri Lanka. - Foto AFP
Demonstrasi jalanan yang berterusan kini memasuki hari ke-100 di kawasan Galle, dekat sekretariat Presiden di Colombo, Sri Lanka. - Foto AFP

Pembangkang sepakat letak Alahapperuma cabar Wickremesinghe

COLOMBO: Pemimpin pembangkang Sri Lanka, Sajith Premadasa, menarik diri daripada pertandingan presiden dan menjanjikan sokongan kepada calon pembangkang yang akan mencabar pemangku presiden, Ranil Wickremesinghe.

Parlimen Sri Lanka yang mempunyai 225 ahli akan mengundi esok bagi memilih presiden baharu untuk menangani krisis ekonomi dan politik terburuk negara itu, selepas Parlimen menyenarai pendek tiga calon hari ini.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana sokongan bagi Wickremesinghe, 73 dan Dullas Alahapperuma, 63, miliki di Parlimen.

Seorang lagi calon presiden ialah Anura Kumara Dissanayaka, ketua parti sayap kiri Janatha Vimukti Peramuna.

Wickremesinghe amat tidak popular dalam kalangan penunjuk perasaan yang menyerbu kediaman dan pejabatnya awal bulan ini, selepas menyerbu kediaman bekas Presiden, Gotabaya Rajapaksa, sehingga terpaksa melarikan diri ke luar negara.

Namun, Wickremesinghe mempunyai sokongan sebahagian besar parti majoriti di Parlimen manakala ahli Parlimen lima penggal, Alahapperuma, juga bekas wartawan, disokong

sebahagian parti pemerintah Sri Lanka Podujana Peramuna (SLPP) serta parti pembangkang.

Premadasa berkata parti pembangkang utamanya, Samagi Jana Balawegaya bersama rakan pembangkang akan bekerja keras untuk menjadikan Alahapperuma sebagai pemenang.

Wickremesinghe mengambil alih jawatan pemangku presiden minggu lalu selepas kebangkitan rakyat menentang kenaikan harga dan kekurangan makanan dan bahan api hingga memaksa Rajapaksa melarikan diri ke Singapura dan meletakkan jawatan.

Sri Lanka kini berada di tengah-tengah krisis ekonomi terburuk sejak ia mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1948.

Inflasi melebihi 50 peratus dan kekurangan makanan, bahan api serta ubat-ubatan memaksa beribu-ribu orang turun ke jalan melakukan protes dalam beberapa bulan.

Kemuncaknya adalah penyingkiran Rajapaksa dan negara itu terpaksa mendapatkan bantuan dari luar negara.

Pesuruhjaya Tinggi India di Sri Lanka, Gopal Baglay, berkata India bersedia membuat lebih banyak pelaburan di Sri Lanka selepas menyokongnya dengan AS$3.8 bilion (RM16 bilion) tahun ini.

"Ideanya adalah untuk bertindak balas terhadap permintaan Sri Lanka bagi membolehkan mereka menghadapi krisis pertukaran asing.

"Kami ingin membawa lebih banyak pelaburan ke Sri Lanka kerana itu akan membantu mewujudkan kapasiti jangka sederhana dan panjang untuk bertindak balas dalam keadaan ekonomi Sri Lanka sekarang," katanya.

Sri Lanka juga meminta bantuan daripada pemberi pinjaman keempat terbesarnya, China selain mengharapkan pakej bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). - REUTERS

Berita Harian X