Selasa, 19 Julai 2022 | 2:26pm
Anggota kesatuan sekerja melaungkan slogan membantah pelantikan Ranil Wickremesinghe selaku pemangku presiden, di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA
Anggota kesatuan sekerja melaungkan slogan membantah pelantikan Ranil Wickremesinghe selaku pemangku presiden, di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA

Penduduk Sri Lanka bantah Wickremesinghe pangku jawatan presiden

COLOMBO: Pelajar Sri Lanka dan beberapa kumpulan lain merancang melakukan bantahan hari ini bagi menentang Ranil Wickremesinghe, yang dijangka dilantik presiden apabila penggubal undang-undang berkumpul di Parlimen untuk undian.

Wickremesinghe, yang juga Perdana Menteri sebanyak enam kali, mengambil alih sebagai pemangku presiden selepas pemberontakan rakyat susulan krisis ekonomi yang dahsyat memaksa penyandang, Gotabaya Rajapaksa, lari ke Singapura dan meletakkan jawatan.

Penunjuk perasaan yang marah dengan harga keperluan asas yang melonjak dan kekurangan makanan serta bahan api, turut mahukan Wickremesinghe disingkir.

Parti-parti politik akan mengusulkan calon mereka untuk presiden pada hari ini, dengan undian diadakan esok oleh penggubal undang-undang mengenai siapa yang akan melengkapkan penggal Rajapaksa, yang dijadualkan berakhir pada 2024.

Sri Lanka terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 dan pemotongan cukai oleh kerajaan Rajapaksa kini menjerumuskan negara itu dalam krisis ekonomi terburuk sejak ia mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1948.

Inflasi melebihi 50 peratus dan kekurangan makanan, bahan api serta ubat-ubatan menyebabkan ribuan orang turun ke jalanan mengadakan protes selama beberapa bulan, yang memuncak dengan penyingkiran Rajapaksa. - REUTERS

Berita Harian X