Isnin, 11 Julai 2022 | 9:02pm
Petugas kesihatan mengendalikan ujian calitan pada seorang wanita untuk mengesan jangkitan COVID-19 di tapak pengajian wabak itu di Beijing. AFP
Petugas kesihatan mengendalikan ujian calitan pada seorang wanita untuk mengesan jangkitan COVID-19 di tapak pengajian wabak itu di Beijing. AFP

Hong Kong tambah baik aplikasi COVID-19 kekang penularan

HONG KONG: Hong Kong akan mengemas kini aplikasi digunakan untuk mengesan kes COVID-19 supaya lebih sejajar dengan sistem dilaksanakan di tanah besar China.

Orang ramai dikehendaki mendaftar mengikut nama dan menggunakan kod warna lampu isyarat untuk menyekat pergerakan penduduk yang dijangkiti dan kontak rapat mereka.

Sebelum ini, pengguna tidak perlu mendaftar menggunakan butiran peribadi mereka dan aplikasi itu digunakan untuk masuk ke sesebuah tempat dan memaparkan rekod vaksinasi.

Mengumumkan perubahan itu pada sidang akhbar hari ini, Setiausaha Kesihatan baharu bandar itu, Lo Chung-Mau, berharap aplikasi itu akan dikemas kini tidak lama lagi dan berupaya membantu menguatkuasakan perintah kuarantin bagi individu yang perlu menjalani pengasingan diri di rumah.

Individu dijangkiti COVID-19 akan dikodkan merah pada aplikasi itu, manakala yang sedang menjalani kuarantin akan dikodkan kuning dan perlu memakai gelang tangan pengawasan.

Chung-Mau berkata, menerusi sistem ini penduduk yang tiba di Hong Kong dari luar negara akan dibenarkan menjalani pengasingan diri di rumah selepas tempoh ditetapkan bagi kuarantin di hotel.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan perincian lanjut berhubung perkara itu.

Semua individu yang tiba di Hong Kong masih diwajibkan menjalani kuarantin di hotel selama seminggu dan mematuhi arahan ujian yang kerap, termasuk sampel najis untuk bayi dan mengisi pelbagai borang.

Wilayah pentadbiran khas China memperkenalkan beberapa peraturan menangani COVID-19 yang paling ketat di dunia di luar tanah besar China menerusi strategi 'dinamik sifar COVID-19' untuk membasmi wabak itu sebaik sahaja ia berlaku.

Hong Kong menguatkuasakan sekatan yang tidak begitu banyak, tetapi dasarnya masih berbeza dengan negara lain yang terkesan akibat penularan wabak berkenaan.

Kerajaan Hong Kong minggu lalu menangguhkan peraturan menggantung penerbangan syarikat tertentu jika mereka membawa masuk terlalu ramai penumpang yang dijangkiti virus COVID-19.

Pada masa sama, pihak berkuasa bertindak meningkatkan ujian saringan COVID-19 di seluruh bandar. - REUTERS

Berita Harian X