Sabtu, 9 Julai 2022 | 8:26am
Jemaah haji mengambil batu bagi ibadah melontar jamrah di Muzdalifah, dekat Makkah, Arab Saudi. - Foto EPA
Jemaah haji mengambil batu bagi ibadah melontar jamrah di Muzdalifah, dekat Makkah, Arab Saudi. - Foto EPA

Wukuf berjalan lancar, kesihatan jemaah dijaga

MAKKAH: Walaupun hanya sekitar sejuta jemaah menunaikan ibadah haji tahun ini berbanding kelaziman sekitar 2.9 juta jemaah, mereka dapat menunaikan ibadah dalam keadaan lebih selesa lagi tenang, terutama wukuf di Arafah.

Arab News melaporkan, kerajaan Arab Saudi mengehadkan jumlah jemaah sejak 2020 kerana ancaman COVID-19 masih ada dan memerlukan langkah tambahan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan jemaah.

Selain itu, suhu panas mencecah 42 darjah Celsius turut menimbulkan kebimbangan mengenai dehidrasi, namun ia tidak menghalang jemaah menunaikan wukuf dalam keadaan tenang lagi lancar.

Jemaah akan terus berada di Arafah sehingga matahari terbenam sebelum bergerak ke Muzdalifah bagi menunaikan solat Isyak dan seterusnya bersedia melakukan rukun melontar jamrah.

Jemaah kemudian melakukan perjalanan pulang ke Mina dan melontar di Jamrah al-Aqabah, Jamrah al-Wusta dan Jamrah al-Sughra.

Dalam pada itu, ibadah haji tahun ini yang disifatkan terbesar sejak pandemik coronavirus melanda dua tahun lalu berjalan seperti yang dirancang tanpa sebarang masalah besar.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Haji dan Umrah, pada sidang akhbar di Mina kelmarin, memberi jaminan semua jemaah berada dalam keadaan baik.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Mohammed al-Abd al-Aly, berkata seramai 25,000 petugas kesihatan berkhidmat sepanjang musim haji di Makkah dan Madinah.

Katanya, sebanyak 23 hospital dengan 4,654 boleh digunakan oleh jemaah yang jatuh sakit atau memerlukan bantuan perubatan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,080 katil disediakan untuk pesakit yang memerlukan rawatan rapi dan 238 bagi mereka yang mengalami strok haba susulan cuaca panas ketika ini.

"Jangkitan COVID-19 masih ada, namun kami berjaya mengawal penularan dalam kalangan jemaah dan boleh dikatakan status kesihatan semua jemaah ketika ini adalah memuaskan," katanya. - AGENSI

Berita Harian X