Selasa, 5 Julai 2022 | 9:31pm
Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Shanghai umum dua pusingan ujian COVID-19 besar-besaran

SHANGHAI: Bandar raya Shanghai akan melaksanakan dua pusingan baharu ujian COVID-19 secara besar-besaran ke atas 25 juta penduduknya dalam tempoh tiga hari ini, susulan berlakunya jangkitan yang dikaitkan dari pusat karaoke.

Menurut pentadbiran bandar menerusi aplikasi rasmi WeChat, semua penduduk di sembilan daripada 16 daerah diarahkan menjalani ujian sebanyak dua kali bermula hari ini hingga Khamis.

Selain itu, penduduk di tiga bahagian daerah lain juga perlu menjalani ujian terbabit.

Menurut pemerintah Bandar Shanghai, ujian itu perlu dilakukan disebabkan pelbagai jangkitan COVID-19 yang dikesan minggu ini dipercayai mempunyai kaitan dengan pusat karaoke, yang dikunjungi penduduk daripada beberapa daerah.

"Tiada isi rumah atau individu dikecualikan daripada menjalani ujian itu," katanya.

Katanya, ketika tempoh ujian, penduduk yang tinggal di daerah terjejas dikehendaki menunjukkan ujian yang diambil dalam tempoh dua hari terakhir untuk meninggalkan rumah mereka.

Penutupan bandar dan ujian besar-besaran berulang kali dilakukan di China, dengan sebahagian daripada pendekatan 'sifar COVID-19', bertujuan membasmi semua penularan, langkah yang berjaya menurunkan bilangan kes tetapi banyak mencetuskan kemarahan penduduk dan menjejaskan ekonomi.

Semalam, Shanghai melaporkan lapan kes COVID-19 tempatan baharu dengan tujuh daripadanya dikesan di tempat kuarantin.

Bandar itu mengarahkan semua daerahnya menjalankan ujian besar-besaran penduduk setiap hujung minggu sehingga akhir Julai.

Penduduk juga perlu melakukan ujian kendiri setiap tiga hari untuk memasuki kawasan awam seperti pusat beli-belah atau menaiki pengangkutan awam.

Meskipun bandar paling ramai penduduk di China itu sudah menarik balik penutupan selama dua bulan terhadap 25 juta penduduknya, ia masih mengenakan sekatan yang disasarkan ke atas pergerakan apabila kes COVID-19 dikesan di luar kawasan kuarantin.

Menurut seorang pegawai kerajaan, bandar barat laut Xian, yang melaporkan 18 jangkitan tempatan yang didorong akibat sub-varian BA.5.2, mulai esok akan menggantung operasi di pelbagai tempat hiburan, kebenaran makan di restoran dan acara berskala besar selama tujuh hari. - REUTERS

Berita Harian X