Selasa, 5 Julai 2022 | 5:55pm
Kira-kira enam juta pengundi muda yang kali pertama akan menjadi penentu sama ada Recep Tayyip Erdogan meneruskan mandatnya sebagai Presiden.
Kira-kira enam juta pengundi muda yang kali pertama akan menjadi penentu sama ada Recep Tayyip Erdogan meneruskan mandatnya sebagai Presiden.

Pengundi muda penentu nasib Erdogan kekal atau sebaliknya

ISTANBUL: Kira-kira enam juta pengundi muda yang kali pertama akan menjadi penentu sama ada Recep Tayyip Erdogan meneruskan mandatnya sebagai Presiden bagi tiga dekad atau jawatan itu diterajui orang lain, sekali gus meletakkan Turkiye di bawah pemimpin berbeza.

Dalam tempoh kurang daripada 12 bulan lagi yang kemungkinan pilihan raya terbesar dalam sejarah moden Turkiye, menyaksikan majoriti besar golongan muda negara itu mengatakan mereka menginginkan perubahan tetapi, masih skeptikal keupayaan pembangkang memperbaiki isu pekerjaan, sekolah dan kebebasan seperti kebebasan bersuara.

Menurut tinjauan pendapat, kira-kira 12 peratus daripada kalangan pengundi dalam pilihan raya presiden dan parlimen yang ditetapkan pada Jun 2023, adalah pengundi muda akan menjadi penentu dalam persaingan sengit kepada Erdogan dan partinya yang sedang memerintah, AK Party (AKP).

Dalam temubual kalangan bakal pengundi berusia 18 hingga 23 tahun dari kota metropolitan Istanbul hingga tengah Anatolia, menunjukkan mereka lebih menginginkan keadilan, imigresen, pekerjaan berasaskan merit dan dasar ekonomi yang telus.

Kegawatan ekonomi dan inflasi yang melambung tinggi misalnya meningkatkan kos sara hidup kepada Damla, 19 serta golongan muda lain, walaupun hakikatnya dia tinggal bersama keluarga serta jarang keluar bersama rakan-rakannya.

Justeru, katanya, tekanan tetap dirasakan walaupun diterajui kerajaan baharu jika AKP tewas pada pilihan raya akan datang itu.

Tinjauan pendapat itu ketika ini memperlihatkan Erdogan kalah tipis sekali gus memberikan isyarat AKP tidak lagi menerajui parlimen.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang tidak rasmi tidak mengumumkan calon presiden, menyebabkan beberapa pengundi muda tidak yakin, dan memberi kelebihan kepada Erdogan yang menang berturut-turut sejak beliau memegang tampuk pemerintahan pada 2003.

Presiden menggerakkan masyarakat tradisional sekular ke arah Islamist, mengubah Turkiye menjadi kuasa tentera serantau dan menggunakan mahkamah untuk membanteras perbezaan pendapat.

Beliau kini berdepan cabaran pilihan raya yang sukar, dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh dasar ekonominya yang tidak ortodok termasuk pemotongan kadar faedah yang menyebabkan mata wang lira jatuh kepada paras terendah dalam sejarah dan inflasi melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 24 tahun iaitu sebanyak 78.62 peratus pada bulan lalu.

Kira-kira 13 juta daripada 62.4 juta adalah generasi muda yang digelar Generasi Z bakal mengundi pada tahun depan, menurut pejabat statistik dan tinjauan pendapat dengan enam juta daripadanya, pengundi kali pertama.

Sementara itu, Ketua firma pengundian Gezici, Murat Gezici, berkata, pengundi muda pada amnya marah kepada kerajaan namun mereka tidak terikat dengan ideologi tertentu dan tidak sepenuhnya percaya kepada pembangkang.

"Tinjauan pendapat itu menunjukkan pengundi Gen Z berusia antara 18 dan 25 tahun menentang keras sekatan terhadap gaya hidup, kebebasan bersuara dan media. dengan 80 peratus daripada generasi itu tidak akan mengundi untuk Parti AK," katanya. - REUTERS

Berita Harian X