Selasa, 5 Julai 2022 | 12:56pm
Macau melaksanakan langkah ketat ujian saringan selepas menyaksikan peningkatan kes COVID-19. - Foto REUTERS
Macau melaksanakan langkah ketat ujian saringan selepas menyaksikan peningkatan kes COVID-19. - Foto REUTERS

Macau catat lebih 900 kes COVID-19 sejak pertengahan Jun

HONG KONG: Macau melaporkan 89 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes melebihi 900 jangkitan sejak pertengahan Jun lalu.

Pihak berkuasa hab perjudian dunia itu sedaya-upaya membendung penularan terbesar sejak wabak itu bermula.

Lebih 13,000 orang menjalani kuarantin di wilayah pentadbiran khas China itu, yang ditutup secara efektif bagi mengehadkan penyebaran wabak berkenaan.

Lebih 600,000 penduduk tertakluk kepada tiga ujian COVID-19 di seluruh bandar pada minggu ini, selain perlu mengambil ujian antigen pantas di antara ujian berkenaan.

Walaupun Macau belum memperkenalkan penutupan berskala penuh seperti yang dilihat di bandar tanah besar China termasuk Shanghai, kebanyakan kemudahan ditutup dan restoran hanya boleh menyediakan makanan untuk dibawa pulang.

Hanya kasino yang dibenarkan untuk terus dibuka bagi memastikan keselamatan pekerjaan.

Kerajaan bergantung kepada industri itu untuk lebih 80 peratus hasil cukainya, dengan kebanyakan penduduk bekerja secara langsung atau tidak langsung dengan pusat peranginan kasino.

Walaupun kasino dibuka secara fizikal, hampir tidak ada mereka yang datang untuk berjudi dan kakitangan yang bekerja juga sangat sedikit, dengan ramai pekerja berada di rumah seperti yang diminta kerajaan.

Langkah ketat itu dibuat selepas sebahagian besar Macau bebas daripada COVID-19 sejak dilanda wabak itu pada Oktober 2021.

Sempadannya dengan tanah besar China masih dibuka, dengan ekonominya bergantung kepada aliran masuk pelawat China.

Macau mematuhi dasar 'sifar-COVID' China, yang bertujuan untuk membasmi semua wabak itu dalam apa cara sekali pun, bertentangan dengan trend global yang cuba hidup bersama virus berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X