Selasa, 5 Julai 2022 | 12:11pm
Polis Penyelamat New South Wale dilihat meronda dalam air banjir di Windsor, barat laut Sydney. - Foto REUTERS
Polis Penyelamat New South Wale dilihat meronda dalam air banjir di Windsor, barat laut Sydney. - Foto REUTERS

Banjir di Australia semakin buruk

SYDNEY: Hujan lebat terus melanda pantai timur Australia hari ini, memburukkan lagi krisis banjir di Sydney apabila ribuan lagi penduduk diarah meninggalkan rumah mereka semalaman selepas air sungai naik dengan cepat melepasi paras bahaya.

Kira-kira 50,000 penduduk di New South Wales, sebahagian besarnya di pinggir bandar barat Sydney, dimaklumkan sama ada mereka berpindah atau diberi amaran kemungkinan menerima perintah berpindah, jumlah yang meningkat berbanding 30,000 penduduk semalam, kata Menteri Pengurusan Kecemasan negeri, Steph Cooke.

Sistem tekanan rendah yang kuat di luar pantai timur Australia membawa hujan lebat, dengan beberapa tempat menerima jumlah hujan menyamai tempoh kira-kira sebulan, sejak Sabtu lalu.

Ribut melampau yang terbaharu kemungkinan berkurangan di Sydney, hari ini, kata Cooke kepada stesen televisyen tempatan, namun risiko banjir boleh kekal sepanjang minggu kerana kebanyakan kawasan tadahan sungai sudah menghampiri kapasiti penuh walaupun sebelum ribut terbaharu berlaku.

"Kita masih belum keluar daripada bahaya lagi," katanya.

Semalam, kerajaan persekutuan mengisytiharkan banjir sebagai bencana alam dan membantu penduduk yang terkesan dengan sokongan pembiayaan kecemasan.

Pegawai berkata, krew kecemasan akan meneruskan operasi menyelamat, hari ini, bagi menunda kapal pengangkut pukal yang rosak di luar pantai Sydney selepas tali tunda terputus dalam cuaca buruk.

Banjir besar sedang berlaku di Windsor di barat Sydney, banjir ketiga di daerah itu tahun ini, dengan paras air semasa lebih tinggi berbanding yang dilihat pada banjir awal tahun ini, kata biro cuaca.

Rakaman di media sosial menunjukkan jalan dan jambatan yang ditenggelami air, manakala krew kecemasan menyelamatkan mangsa yang terkandas daripada kenderaan, yang sebahagiannya tenggelam dan terperangkap dalam air yang semakin naik.

Seorang penduduk Windsor, Nigel Myron, berkata beliau mempersiapkan bot angin jika terpaksa berpindah dan akan kembali selepas air surut.

"Pada penghujungnya, apa yang boleh anda lakukan? Itulah yang berlaku dan kami membersihkan diri daripada abu dan membina semula selepas banjir datang dan pergi," kata Myron kepada televisyen ABC. - REUTERS

Berita Harian X